Cabaran menjadi gembala gajah

Iklan
Unit Tangkapan Gajah Perhilitan Perak berjaya menjalankan operasi translokasi gajah liar di Felda Nenering pada 29 Oktober lalu.

PADA 1974, Unit Kebajikan Gajah diwujudkan oleh Jabatan Mergastua yang kemudian ditukar namanya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Unit yang ditempatkan di Temerloh, Pahang itu dilatih oleh enam gembala gajah atau mahut dari Assam, India yang dibawa masuk bersama empat ekor gajah denak iaitu Lal Bahadul, Paul Bahadul, Ganesh dan Lokimala bagi membantu operasi pemindahan gajah.

Iklan
Iklan

Unit Kebajikan Gajah dilatih menggunakan teknik melasikar atau lasso iaitu teknik menangkap gajah menggunakan tali lasso atau tali jerut.

Unit itu turut terlatih bagi teknik menangkap gajah dengan menjerut kaki sambil menaiki gajah denak.

Iklan
Unit Kebajikan Gajah dilatih menggunakan teknik melasikar atau lasso iaitu teknik menangkap gajah menggunakan tali lasso atau tali jerut.

Sejak 1974, teknik tangkapan gajah diperbaiki dan pada 1975, ubat pelali digunakan manakala penggunaan rantai besi diperkenalkan pada 1985, sebelum penubuhan pusat operasi tetap di Kuala Gandah pada 1989.

Sejak 1974 sehingga 2023, kira-kira 1,106 ekor gajah berjaya menjalani proses translokasi di mana program pemindahan atau translokasi gajah pertama adalah pada 11 Mei 1974 di Felda Jengka 7, Pahang.

Iklan
ABDUL KADIR

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, semasa operasi tangkapan menggunakan teknik melasikar, dua mahut akan menaiki gajah denak, di mana seorang akan mengendalikan gajah, manakala seorang lagi berdiri sambil memegang lasso untuk menjerut kaki sang belalai itu.

Katanya, gajah yang dikenali sebagai Minah merupakan satu-satunya yang ditangkap menggunakan teknik melasikar pada 1974 di Gugusan Felda Jengka, Pahang.

"Jangka hayat Minah tidak lama setelah mati akibat serangan liver fluke pada 7 Mei 1976,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.Beliau berkata, kaedah pelalian diperkenalkan pada 1975 bagi menggantikan teknik melasikar.

Unit Kebajikan Gajah yang ditempatkan di Temerloh, Pahang dilatih oleh enam gembala gajah atau mahut dari Assam, India pada 1974.

"Teknik itu berjaya digunakan untuk menangkap lima ekor gajah yang menyebabkan kerosakan tanaman di Gugusan Felda Jengka pada tahun yang sama,” katanya.

Abdul Kadir berkata, pada masa yang sama, penggunaan gajah denak Lokimala dan Cempaka juga diperkenalkan bagi membantu operasi.

"Perhilitan kemudian menggunakan rantai besi bagi menggantikan tali jut semasa operasi di Jerangau dan Sungai Gawi, Terengganu, bermula pada 1985.

"Penggunaan tali jut kurang efektif dari segi ketahanannya dalam cuaca di negara ini,” katanya.

Menurutnya, operasi yang dinamakan Ops Rantai itu sempena penggunaan rantai besi bagi meningkatkan keselamatan sebelum diperkemas dengan mengguna pakai rantai berlapik Polyvinyl Chloride (PVC) bagi mengurangkan risiko kecederaan pada gajah.

CABARAN OPERASI

Abdul Kadir berkata, antara cabaran utama mahut semasa operasi pemindahan gajah ialah faktor bentuk muka bumi, keadaan hutan yang mengehadkan pergerakan dan risiko serangan gajah.

"Anggota yang terlibat dalam operasi itu perlu cergas, komited dan memahami perilaku gajah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, gembala atau mahut perlu mahir dalam mengendalikan gajah denak dan gajah aktiviti.

"Gajah denak akan membantu anggota tersebut ketika proses pemindahan gajah liar.

"Gajah aktiviti pula akan terlibat di dalam pertunjukan berinformasi bagi pelancong yang datang berkunjung ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah,” katanya.

Dua ekor gajah denak yang dikenali sebagai Abot dan Rambai digunakan untuk menangkap gajah liar.

Beliau berkata, setiap mahut juga perlu mahir dalam memberikan arahan kepada gajah-gajah separuh jinak itu melalui bahasa dan sentuhan.

"Bahasa yang digunakan adalah bahasa Kuala Gandah. Gufti adalah peralatan wajib seseorang mahut untuk mengendalikan gajah.

"Pada masa kini, gufti hanya digunakan sebagai alat penjagaan diri dan tidak lagi digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mencederakan gajah.

"Tiada tempoh spesifik untuk melatih petugas untuk menangkap gajah, namun secara purata tiga hingga ke empat bulan bagi kakitangan itu menguasai teknik menangkap haiwan itu,” katanya.

Ujar Abdul Kadir, PKGK Kuala Gandah, berkeluasan 30 hektar, ditubuhkan pada 1989 oleh Perhilitan.

"Pusat yang terletak di pinggir bahagian selatan Rezab Hidupan Liar Tengku Hassanal ini bermula sebagai pusat operasi Unit Tangkapan Gajah yang bertanggungjawab melaksanakan program tangkapan dan penempatan semula gajah yang menghadapi konflik di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, objektif penubuhan PKGK adalah untuk memastikan perlindungan gajah dan pengurusan habitatnya.

"Perhilitan turut mengurus pusat ini sebagai lokasi kajian, pendidikan dan eko pelancongan,” katanya.

Menurut beliau, PKGK juga menjadi kawasan utama penempatan bagi gajah denak iaitu gajah yang membantu ketika operasi pemindahan gajah liar.

"PKGK turut dijadikan sebagai penempatan gajah yang diselamatkan terutamanya yang mengalami kecederaan parah, selain anak-anak gajah yang sesat atau ditinggalkan kumpulan haiwan itu,” ujarnya.

Abdul Kadir berkata, selain tugas utama di dalam menjalankan operasi tangkapan dan pemindahan gajah liar, PKGK juga dikenali sebagai salah satu dari destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia.

"Pusat ini mula dibuka secara rasmi kepada orang ramai sebagai salah satu daripada destinasi eko pelancongan pada 2000.

"Anggaran pelawat yang datang berkunjung ke PKGK adalah di antara 200,000 ke 300,000 orang setahun,” katanya.

OPS KENYIR REKOD SEJARAH

Abdul Kadir berkata, Ops Kenyir pada 1984 berjaya menyelamatkan sekumpulan 10 ekor gajah terperangkap di Pulau Buai, Tasik Kenyír di Terengganu disebabkan paras air yang naik mendadak semasa pembinaan Empangan Kenyir.

"Operasi yang dijalankan pada 28 Februari hingga 24 Mac 1984 itu mencatat sejarah tersendiri di mana ia merupakan operasi pemindahan gajah kali pertama di dunia menggunakan rakit.

"Operasi itu melibatkan Perhilitan Terengganu dan 42 anggota tentera dari Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja.

"Sebanyak 217 tong minyak kosong digunakan bagi mengapungkan rakit khas bersaiz 10 meter x 12 meter yang dibina menggunakan kayu Kapur dan Kempas,” ujarnya.

Tambahnya, tiga ekor gajah denak iaitu Lokimala, Paul Bahadul dan Che Mek digunakan bagi membantu operasi pada waktu itu.

Selain itu katanya, Perhilitan turut berjaya melaksanakan operasi tangkapan kumpulan gajah terbesar di Segamat, Johor pada 2009.

Kata Abdul Kadir, dalam operasi itu, sebanyak 13 ekor gajah yang ditangkap di pinggir kebun getah di Kampung Tenang berjaya dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu.

Katanya, operasi selama dua minggu yang melibatkan kos lebih RM150,000 itu berjaya menyelesaikan masalah gangguan gajah di kawasan tersebut.

"Sehingga kini, sebanyak 1,130 ekor gajah ditangkap dan dipindahkan ke habitat yang selamat,” katanya.

BERISIKO CEDERA, HILANG NYAWA KETIKA OPERASI

Anggota Perhilitan sentiasa berdepan risiko ketika terlibat dalam operasi menangkap dan memindahkan gajah liar.

Che Ku Mohd Zamzur

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata ada kes anggota Perhilitan cedera parah akibat dipijak oleh gajah.

"Malah ada seorang mahut dilaporkan meninggal dunia ketika terlibat dalam operasi menangkap gajah pada 1982.

"Cabaran ketika bertugas dalam operasi melibatkan hidupan liar ini adalah kita akan mengalami kecederaan atau maut pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, risiko yang perlu dihadapi mahut serta anggota Perhilitan ialah mereka perlu berada di bawah gajah yang ditangkap untuk membuka rantai di kaki haiwan itu.

"Unit Tangkapan Gajah menangkap dan memasang rantai pada kedua-dua kaki hadapan haiwan itu.

"Setelah pelali ditembak, kita akan memotong rantai tersebut, sebelum haiwan itu diapit dua ekor gajah denak, ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Elly yang kudung kaki kanan hadapan akibat terkena jerat dawai diselamatkan di Jeli, Kelantan.

Beliau yang berkhidmat bersama Perhilitan sejak 17 tahun lalu berkata, pihaknya turut mengurus dan menjaga seekor gajah betina dikenali sebagai Elly.

Katanya, haiwan yang kudung kaki kanan hadapannya akibat terkena jerat dawai itu diselamatkan di Jeli, Kelantan.

Ujarnya, kesedihan Elly jelas dapat dilihat daripada riak wajah dan matanya.

"Elly menerima sumbangan kaki palsu daripada Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) sejak 2017 sehingga sekarang bagi memudahkan pergerakannya selain bantuan ubat-ubatan.

"Namun, kaki palsu itu perlu ditukarkan dua kali dalam tempoh setiap enam bulan, kosnya pula dianggarkan RM50,000 setahun,” katanya yang ditugaskan di PKGK Kuala Gandah sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu katanya, Perhilitan turut berasa sedih dengan kematian Lokimala yang merupakan ketua gajah di PKGK Kuala Gandah.

Lokimala yang merupakan gajah tertua di pusat itu mati pada usia 86 tahun, 8 September lalu.

Menurutnya, gajah betina itu dibawa dari India pada 22 Jun 1974, ketika haiwan berkenaan berusia 37 tahun bagi membantu operasi tangkapan dan pemindahan gajah.

INFO

Sejarah penubuhan Unit Kebajikan Gajah

- Unit Kebajikan Gajah diwujudkan pada 1974 oleh Perhilitan

- Unit yang ditempatkan di Temerloh, Pahang itu dilatih oleh enam gembala gajah atau mahut dari Assam, India.

- Empat ekor gajah denak iaitu Lalbahadul, Paulbahadul, Ganesh, dan Lokimala membantu dalam operasi pemindahan gajah.

Peranan mahut:

- Perlu mahir dalam memberikan arahan kepada gajah-gajah separuh jinak melalui bahasa dan sentuhan.

- Bahasa yang digunakan adalah bahasa Kuala Gandah. Gufti adalah peralatan wajib seseorang mahut untuk mengendalikan gajah.

- Mahut yang terlibat dalam operasi perlu cergas, komited dan memahami perilaku gajah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Statistik serangan gajah liar dan translokasi:

- Sebanyak 18 kes serangan gajah sejak 2017 sehingga tahun lalu dilaporkan.

- Perhilitan menerima 3,145 aduan berkaitan kes ancaman gajah liar sejak 2017 hingga 2022.

- Perhilitan berjaya menangkap 259 ekor gajah dalam tempoh 2017 hingga 2022.

- Sejak 1974 sehingga 2023, kira-kira 1,106 ekor gajah berjaya menjalani proses translokasi di mana program pemindahan atau translokasi gajah pertama adalah pada 11 Mei 1974 di Felda Jengka 7, Pahang.