PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag berkata, Marcus Rashford telah memohon maaf kerana berhibur di kelab malam beberapa jam selepas kekalahan 3-0 kepada Manchester City hujung minggu lalu.
Kemerosotan prestasi Rashford dipercayai menjadi faktor utama dalam permulaan buruk United pada musim ini.
Pemain antarabangsa England itu menjaringkan 30 gol untuk kelabnya musim lalu, tetapi hanya meledak satu gol dalam 14 penampilan kempen kali ini.
United juga telah tewas lapan daripada 15 perlawanan pembukaan mereka dalam semua pertandingan — permulaan terburuk mereka dalam mana-mana musim sejak 1962/63.
Ten Hag berada dalam tekanan selepas kemenangan selesa City di Old Trafford diikuti dengan kekalahan 0-3 kepada Newcastle untuk menyingkirkan United daripada Piala Liga pada Rabu.
Rashford memulakan perlawanan itu di bangku simpanan dan Ten Hag berkata, keputusan itu adalah disebabkan penggiliran dan bukannya tindakan tatatertib.
Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan atau menafikan sama ada pemain berusia 26 tahun itu telah didenda.
"Ya, saya sedar mengenainya. Saya bercakap dengan dia mengenainya. Ia tidak boleh diterima, saya memberitahunya, dia meminta maaf dan itu sahaja. Selebihnya ia adalah perkara dalaman," katanya.
Bagaimanapun, Ten Hag menegaskan Rashford kekal menunjukkan komitmen seperti biasa.
"Dia sangat bermotivasi untuk memperbetulkan keadaan. Saya tahu usaha yang dia lakukan. Dia benar-benar bersama kami.
"Jadi, dia membuat kesilapan, tetapi itu tidak mengatakan dia tidak sesuai. Saya melihatnya setiap hari dalam latihan, apa yang dia lakukan.
"Selain itu, di luar padang, apa yang dia lakukan, bagaimana dia hidup, dan saya pasti dia melakukan segala-galanya dengan betul untuk membantu pasukan beraksi dan membolehkan kami menang," katanya.