KKD adakan perbincangan berkaitan kawal selia TikTok Shop

Iklan
Fahmi berucap pada majlis penyampaian sumbangan Deepavali kepada masyarakat India sekitar Lembah Pantai di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan kementerian berkaitan berkenaan aspek kawal selia di TikTok Shop.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah mendapat maklumat asas mengenai demografi dan barangan yang dijual menerusi platform itu, selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok pada Khamis lepas.

Iklan
Iklan

"Saya ada minta beberapa perbincangan susulan sebab maklumat perlu lebih terperinci dan selepas ini kita akan adakan perbincangan dengan kementerian dan agensi lain kerana dari segi bidang kuasa KKD dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) lebih kepada kawal selia penggunaan rangkaian.

"... tetapi ada beberapa perkara lain di bawah bidang kuasa seperti contoh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kita akan adakan perbincangan sebelum kita rumuskan tindakan kerajaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Lembah Pantai pada Sabtu.

Pada 7 Oktober lepas, Fahmi dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini.

Iklan

Menurut Fahmi, beliau sendiri pernah menerima aduan orang awam yang melahirkan kerisauan jika langkah yang sama diikuti oleh kerajaan, namun pada masa yang sama beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga terhadap produk yang dijual menerusi platform TikTok Shop.

Pada majlis di Lembah Pantai hari ini, Fahmi berkata, MCMC juga telah mengadakan perbincangan dengan pengendali TikTok selepas menerima aduan pihak tertentu yang dihalang membuat TikTok Live dalam aplikasi berkenaan khususnya bagi membincangkan isu Palestin.

"... tetapi apabila dibagi jawapan oleh TikTok, bagi saya jawapannya sangat memalukan (kerana) kalau itulah jawapannya, ia tidak memberi gambaran yang baik.

"MCMC juga maklumkan beberapa perkara yang sedikit membimbangkan dari segi kawal selia, jadi saya telah meminta satu pertemuan akhir diadakan dengan pihak TikTok sebelum kita putuskan beberapa perkara,” katanya.

Fahmi berkata, walaupun mendapat kerjasama daripada TikTok, sehingga hari ini belum ada wakil daripada pihak tersebut di Malaysia.

"Sekarang kita terpaksa menunggu sehingga pegawai-pegawai datang dari Singapura, Filipina dan sebagainya.

Ini tidak kondusif kerana ia melewatkan dan seperti saya sebut sebelum ini kerajaan khususnya KKD dan MCMC sedang meneliti langkah untuk tingkatkan kawal selia,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sumbangan Deepavali itu ditingkatkan dan diagihkan kepada 1,000 keluarga berbanding 700 sebelum ini atas sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk di kawasan itu. - Bernama