KUALA TERENGGANU - Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada Jumaat telah menyerahkan memo bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat mengenai kekejaman yang sedang berlaku di Gaza ketika ini.
Raja Bahrin memaklumkan memo bantahan yang dihantar buat kali kedua itu sebagai tanda protes atas serangan secara berterusan oleh rejim Zionis Israel ke atas penduduk di Palestin.
"Selepas memo bantahan pertama diserahkan pada 16 Oktober lepas, pembunuhan dan keganasan makin meningkat dengan dahsyatnya di Gaza.
"Bukan sahaja masjid dan gereja dibom tetapi melibatkan hospital, sekolah, ambulan, pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan rumah orang awam pun menjadi sasaran.
"Oleh kerana peningkatan meruncing keganasan dan kematian maka kami terpaksa mendesak melalui memo bantahan kedua," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Justeru, Raja Bahrin menegaskan bahawa pihaknya mendesak kerajaan Amerika Syarikat mengenai beberapa perkara.
Beliau juga turut mendesak Amerika Syarikat untuk tidak menggunakan hak veto atau menghalang Resolusi PBB yang memanggil gencatan senjata di Gaza atau penghentian kekerasan terhadap penduduk Palestin.
"Kami menuntut Amerika Syarikat untuk menghentikan bekalan atau penambahbaikan mesin kematian dan peralatan kepada Israel dalam bentuk pesawat tempur, kereta kebal, meriam, peluncur roket, amunisi dan bahan toksik lain yang kini digunakan untuk membunuh orang Palestin yang tidak bersalah.
"Kami dengan tegas mendesak Amerika Syarikat untuk mengawal pihak berkuasa Israel yang merompak, menangkap dan membunuh penduduk sivil di Tebing Barat," ulasnya.
Dalam pada itu, Raja Bahrin menuntut kerajaan Amerika Syarikat untuk menghentikan sokongan kewangan dan bantuan kewangan yang diberikan kepada Israel untuk menindas rakyat Palestin serta melaksanakan dasar aparteid.
Menurutnya, ia adalah perkara-perkara kritikal yang sepatutnya diselesaikan dengan segera dan tegas untuk mengelakkan krisis lebih mendalam serta meluas di seluruh dunia.
"Adalah satu kekecewaan besar bahawa keadaan dunia yang dahulunya tenang namun berlakunya insiden berkaitan keganasan di seluruh dunia serta keadaan terus merosot di Gaza dan Palestin.
"Ini mungkin membawa kepada kebangkitan ketegangan antarabangsa tidak dapat dikawal sekali gus menyertai konflik global bencana melibatkan banyak negara.
"Jadi kami berharap kebersamaan dan keadilan diberikan kepada semua tanpa mengira agama atau bangsa," jelasnya.
-- TAMAT