AMPANG - Seorang pemandu lori ditahan kerana melakukan provokasi terhadap anggota polis yang menyamannya kerana memandu lori sambil menggunakan telefon bimbit di Jalan Ampang di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semasa operasi kenderaan perdagangan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Katanya, semasa pemeriksaan dibuat, suspek telah membuat provokasi terhadap polis yang bertugas dengan meninggikan suara.
"Suspek turut merakam video semasa kejadian dengan menggunakan telefon bimbitnya sebelum polis memberi amaran sebanyak tiga kali supaya tidak melakukan perbuatan itu.
"Tetapi lelaki tempatan itu enggan mematuhi arahan tersebut sebelum tangkapan dibuat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, telefon bimbit milik suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek berusia 28 tahun kini direman empat hari sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Suspek turut disaman atas kesalahan memandu menggunakan telefon bimbit," ujarnya.