ALOR SETAR - Konflik Palestin perlu diselesaikan segera bagi mengembalikan kedamaian dan kesejahteraan sejagat.
Pengasas Ummah Kedah, Noor Hakimi Ab Halim berkata, pemimpin-pemimpin utama dunia Islam seharusnya bersatu dan bertindak namun sehingga kini mereka seolah masih terawang-awang dalam menentukan nasib umat Islam Palestin.
Menurutnya, belum kelihatan langkah signifikan yang diusahakan dalam menangani konflik tersebut, biarpun bumi Gaza hampir musnah diperlakukan Israel saban hari.
"Apa yang kita lihat hanyalah sikap hipokrit, penyakit wahan (cinta dunia dan takut mati) selain memekakkan telinga kalangan mereka. Apakah mereka tuli dengan jeritan pertolongan dan sokongan? Malah pintu sempadan di Mesir tertutup rapat.
"Sebagai pencinta kedamaian, kita mempunyai tanggungjawab untuk memahami konflik dan menyumbang kepada penyelesaian yang berdaya tahan,” katanya di sini pada Sabtu.
Noor Hakimi berkata, antara tindakan yang boleh dilakukan termasuk menyatakan sokongan kepada organisasi kemanusiaan yang membantu rakyat Palestin yang terjejas.
"Kita juga boleh memainkan peranan meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam masyarakat serta mendesak pemimpin politik mengambil tindakan mendukung perdamaian.
"Selain itu, umat Islam perlu memantapkan diri dengan persiapan ilmu dan pengetahuan, khususnya ilmu agama dalam mendepani masa depan lebih mencabar,” ujarnya.
Menurutnya lagi, negara Israel tidak wujud dan tanah yang mereka duduki itu perlu dikembalikan kepada Palestin.
"Tiada lagi keperluan gencatan senjata atau situasi menang-menang. Kembali kepada sejarah Palestin-Israel, warga Palestin mencatatkan sejarah kemanusiaan apabila menerima pelarian Israel. Namun mereka turut mencatatkan sejarah apabila kemanusiaan itu dimusnahkan oleh ‘tetamu’ setelah mereka bertambah kuat dan lupa asal usul,” jelasnya.
Noor Hakimi berkata, peristiwa ini harus menjadi pengajaran dan amaran bahawa hak pribumi pada bila-bila masa boleh diganggu-gugat atau dirampas jika pemiliknya leka.
"Konflik Palestin memperlihatkan betapa rumitnya isu berkaitan politik dan sejarah. Ia mengajar kita ketegangan etnik dan agama mampu mencetuskan konflik berlarutan.
"Ia juga mengajar kita tentang pentingnya menghormati hak asasi manusia dan hentikan pengusiran penduduk serta pendudukan tanah yang melanggar hak rakyat,” katanya.
Jelasnya lagi, konflik di Palestin juga memberi pengajaran bahawa kekuatan pegangan agama akan menjamin keselamatan dalam kehidupan.
"ALLAH SWT beri amaran bahawa musuh-musuh Islam tidak akan reda sehingga umat Islam mengikut kehendak mereka.
"Islam telah menggariskan panduan cara berhubungan dengan manusia, bertegas dalam perkara sewajarnya dan terhadap sesiapa dengan sewajarnya. Kesan pengabaian ajaran Islam akan merosakkan ummah dan membuka ruang kepada musuh Islam,” ujarnya.
Noor Hakimi berkata, elemen liberalisasi, normalisasi dan gaya hidup yang menyimpang daripada ajaran Islam antara perancangan musuh Islam untuk melemahkan kesatuan umat Islam.
"Kesannya, segala yang menyimpang daripada ajaran Islam dan kebenaran, kelihatan indah dan normal. Sebaliknya, segala yang berkaitan dengan Islam dan memperjuangkan nasib agama serta umatnya akan dihalang.
"Suntikan tersebut seolah-olah telah berlaku dan menampakkan kesannya. Terdapat kalangan mereka yang terpengaruh dengan dakyah sehingga pejuang Palestin yang menuntut hak sendiri dianggap pengganas,” ujarnya.
Menurutnya, amat dikesali apabila solidariti terhadap Palestin, walau sekadar gimik dianggap sebagai menonjolkan imej pengganas dan keganasan.
"Malangnya ia turut diperakui segelintir umat Islam. Inilah yang menjadi persoalan sama ada kesan suntikan elemen tersebut menyebabkan pemimpin-pemimpin utama dunia Islam belum bertindak sewajarnya menyelamatkan umat Islam di Palestin,” tegasnya.