BAGAN DATUK - Sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai kawasan sering dilanda banjir bagi tempoh Monsun Timur Laut (MTL) pertengahan November ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi penguatkuasaan telah diadakan bagi merangka strategi dan pelan tindakan.
Menurut beliau, jumlah mangsa banjir turut diperoleh untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.
"Nadma telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal (PPK) di sekolah yang selama ini sudah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bantuan yang diperlukan sepanjang tempoh empat bulan turut diselaraskan berikutan MTL dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2024.
"Nadma telah menempah tujuh jambatan Bailey tambahan sebagai persediaan untuk kawasan-kawasan infrastruktur yang telah dikenal pasti akan dilanda banjir besar.
"Pemasangan dilakukan oleh Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya peringkat negeri dan Kementerian Kerja Raya pula peringkat pusat," katanya.