KUALA LUMPUR - Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memulihkan tiga projek terbengkalai swasta di negeri itu.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, sebanyak RM7.25 juta diperuntukkan di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 bagi menyiapkan 325 unit rumah di Klang.
Menurutnya, ketiga-tiga projek itu telah dimulakan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2025.
"Projek tersebut membabitkan 100 unit rumah di Lot 2223 dan 2224 Taman Meru Makmur, 30 unit di Lot 2225 Taman Meru Makmur serta 195 unit Pangsapuri Impian Meru.
"Kerja awalan pemulihan akan diterajui dengan kolaborasi bersama agensi pelaksana iaitu Majlis Perbandaran Klang dan Indah Water Konsortium," katanya mengulas langkah kerajaan negeri menangani projek rumah sakit dan terbengkalai di Selangor.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Expo Rumah BPEX di Mid Valley pada Sabtu yang turut dihadiri Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Nor Ashikin Taib serta Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datuk Dr Juhari Ahmad.
Sebanyak 9,000 unit kuota bumiputera bernilai RM5 bilion dipamerkan pada program berlangsung selama dua hari hingga Ahad.
Borhan berkata, kerajaan negeri menerusi LPHS memberikan komitmen dan mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) sebagai saluran perbincangan dan mendapatkan kerjasama daripada pihak terlibat.
"LPHS bertindak sebagai urus setia jawatankuasa ini berperanan merangka pelan pemulihan selain penilaian semula projek terbengkalai sama ada berdaya maju dan boleh dipulihkan atau sebaliknya.
"LPHS sebagai agensi pemantauan sentiasa berusaha demi memastikan projek terbengkalai yang berpotensi dapat dipulihkan dan seterusnya dapat disiapkan sehingga sijil layak menduduki diperoleh," katanya.