SHAH ALAM - Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhasrat untuk bekerjasama dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam projek serantau dan luar negara.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, badan antarabangsa itu turut memberikan sokongan penuh untuk mendedahkan bakat tempatan kepada pasaran global yang menyumbang kepada kemajuan majikan di seluruh dunia.
Menurutnya, entiti global tersebut mengakui MEF dan negara Malaysia selari dengan prinsip kadar upah progresif serta gaya hidup yang baik.
"Konsep kadar upah progresif yang kini sudah di peringkat pembangunan sudah dibahas, dan ILO memuji dedikasi kami terhadap inisiatif ini.
"ILO hargai pendekatan menyeluruh kami terhadap perkara-perkara ini dan komitmen kami untuk merealisasikannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
MEF membuat penampilan sulungnya dengan menghadiri Mesyuarat Badan Pimpinan kali ke-349 di Geneva, Switzerland pada 31 Oktober lalu yang disifatkannya sebagai peristiwa bersejarah.
Hal ini kerana pihaknya turut diberi keistimewaan untuk mengadakan kunjungan hormat Pengarah Besar ILO iaitu Gilbert F Houngbo.
Syed Hussain memaklumkan, ILO turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi kisah kejayaan dan amalan terbaik dari pelbagai wilayah selain berharap dapat belajar daripada pencapaian Malaysia.
Menurutnya lagi, badan antarabangsa terbabit komited untuk bekerjasama dalam peningkatan kemahiran menerusi program pendidikan dan latihan teknikal dan Vokasional (TVET) selain mengundang MEF untuk mengenal pasti bidang latihan melalui Pusat ILO Turin di Itali.
"Perbincangan antara MEF dengan ILO dianggap sangat bermakna menerusi pertukaran idea dan pandangan, kedua-duanya mengorak langkah untuk meningkatkan kerjasama dengan matlamat utama iaitu mengukuhkan impak usaha sama.
"Lawatan ini melambangkan dedikasi bersama MEF dan ILO untuk membuat perubahan positif dalam bidang pekerjaan,” ujarnya lagi.