PESERTA New Zealand, Kent Jenkinson terus menguasai saingan peringkat kedua kejuaraan Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 apabila muncul juara kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki di Pantai Lagenda, Pekan pada Sabtu.
Jenkinson yang juga naib juara keseluruhan edisi tahun lalu, menamatkan saingan sejauh 14 kilometer dengan catatan masa satu jam 11 minit 07 saat untuk membawa pulang wang tunai RM1,500 sebagai juara peringkat kedua.
Dua pendayung adik-beradik dari Australia Harry dan Charlie Hewitt di tempat kedua dan ketiga, masing-masing mencatatkan masa satu jam 14:40s dan 1 jam 16:25s.
Dalam pada itu, Jenkinson mengakui cabaran berbeza ditampilkan di Pantai Lagenda kali ini apabila ramai pendayung berdepan rintangan angin yang kuat di tengah lautan sekali gus menjejaskan kelajuan mereka.
"Perlumbaan agak sukar hari ini, dengan keadaan cuaca yang cukup panas, terik dan angin yang kuat menuju ke garisan penamat, ia memberi banyak cabaran dan kesukaran,” katanya.
Jenkinson yang memulakan perlumbaan dengan memimpin pesaingnya menuju ke tujuh kilometer pertama, mengakui strateginya untuk terus menjarakkan diri daripada adik-beradik Hewit untuk memastikan kelebihan defisit masa yang dimiliki daripada peringkat pertama.
Sementara itu, Harry Hewitt masih tidak mahu berputus asa untuk memberikan cabaran menjelang peringkat terakhir yang akan berlangsung di perairan Teluk Chempedak esok.
Peserta berusia 23 tahun itu berkata, dia akan mengatur strategi untuk merapatkan kedudukan bersama-sama adiknya, Charlie sebagai usaha terakhir untuk memberi tentangan kepada Jenkinson.
"Saya akui sukar untuk mencabar Kent tetapi saya mahu mencuba untuk merampas gelaran juara peringkat terakhir (Teluk Chempedak), jadi ia pasti menarik,” ujarnya.
Saingan terbuka antarabangsa SS1 wanita pula, trio pendayung dari Australia diketuai Peige Wood muncul juara peringkat kedua selepas menamatkan perlumbaan 14km dengan catatan masa satu jam 21 minit: 34s.
Ia diikuti Amanda Bowman di tempat kedua (1 jam 22: 41s) manakala di tempat ketiga Selma Jade Alibegovic (1 jam 25: 49s).
Peringkat ketiga POPIC 2023 akan berlangsung di perairan Teluk Chempedak, Kuantan dengan kategori utama bakal menyaksikan para pendayung tempatan dan antarabangsa dalam kategori utama akan berdayung sejauh 20 kilometer.