Khairul Naim perkukuh cengkaman pendahulu

Iklan
Khairul Naim sekali lagi membuktikan kehebatannya pada saingan Peringkat 2 POPIC 2023 pada Sabtu.

PENDAYUNG Persatuan Sukan Kanu Pahang (PSKP), Khairul Naim Zainal mengukuhkan cengkamannya selaku pendahulu selepas menjuarai Peringkat 2 Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 pada Sabtu.

Khairul Naim sekali lagi mendominasi kategori Kebangsaan SS1 lelaki apabila menawan Pantai Lagenda di sini dengan catatan 1 jam 18 minit dan 22.04 saat (s) selepas muncul juara Peringkat 1 di Pantai Rantau Panjang, Rompin pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pada perlumbaan sejauh 16 kilometer (km) itu, Khairul Naim meninggalkan dua pencabar terdekatnya dari Johor, Montoya Raw yang merekodkan 1:18:34.91s, manakala Mirza Adli Shaharaziz (1:21:33.72s).

"Syukur alhamdulillah apabila saya dapat mengekalkan momentum dan rentak kemenangan pada Peringkat 1 hari ini (Sabtu). Sama seperti Peringkat 1 di Rompin semalam (Jumaat), saya cuma mengekalkan rentak kayuhan sejak awal perlumbaan.

Iklan

Khairul Naim dijangka sekali lagi berdepan cabaran sengit terutamanya daripada Montoya dan Mirza Adli yang turut menyambar podium kedua dan ketiga pada Peringkat 1 menjelang pusingan akhir yang juga Peringkat 3 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan pada Ahad.

"Ya saya akui cabaran esok (Ahad) akan menjadi lebih sukar. Ia bukan sahaja daripada peserta lain terutamanya Momtoya dan Mirza, tetapi juga jarak laluan perlumbaan yang lebih panjang termasuk kami perlu menempuhi kuala sungai selain laut,” jelasnya.

Iklan

Sementara itu, Montoya melaungkan keazamannya untuk bangkit pada Peringkat 3, sekali gus menyekat kemaraan Khairul Naim bergelar juara keseluruhan kategori Kebangsaan SS1 lelaki pada edisi kali ini.

"Semuanya tidak mustahil untuk saya muncul juara peringkat mahupun ditabalkan juara keseluruhan. Saya yakin mampu buat lebih baik pada perlumbaan esok (Ahad) untuk terus memberikan saingan kepada Khairul Naim.

"Apatah lagi laluan laut dan kuala sungai memang menjadi favourite saya. Jadi saya akan cuba mengatur strategi yang lebih baik untuk terus memburu kemenangan pada peringkat terakhir itu nanti, ” ujarnya.

Dalam Kategori Kebangsaan SS1 wanita pula menyaksikan pendayung Johor, Nur Atasha Nabila Saring sekali lagi muncul juara, diikuti dua wakil Selangor - Nur Ismalina Isnadi (2:00:31.04s) dan Nor Amirah Nabila Amir (2:02:12.89s).

Bagi kategori Terbuka Malaysia TK2 lelaki, gandingan dari Johor, Ahmad Ariff Rasydan-Muhd Shahrin Haziq Mohd Shahbiree kekal mempertahankan status juara, manakala duo Johor, Nur Amirah Anisah Abdul Kadir-Nurain Fitriyaselaiman Shah mengungguli saingan wanita.

Dalam kategori Inter Varsiti sejauh 6km, dua wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil cemerlang dengan menjuarai saingan lelaki dan wanita menerusi Hassan Al Basri Ali-Muhammad Naim Shahmi Mahusin dan Alyaarzana Mohd Ali-Nur Saidatira Amira Eksen.