JOHOR BAHRU - Jerman merangkul kejuaraan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 selepas menewaskan Australia 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam ini.
Perlawanan final terpaksa ditentukan dengan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa permainan sebenar.
Kejayaan pasukan kendalian Rein Van Eijk itu sekali gus menambah koleksi kejuaraan mereka buat kali kedua pada SOJC, selepas meraih kejayaan sulung pada edisi 2012.
Pada aksi yang berlangsung sengit malam ini, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan pantas dengan saling mengatur gerakan untuk mencipta jaringan, namun gagal menemui sentuhan penyudah sehingga ke wisel penamat.
Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Jerman, Joshua Onyekwue Nnaji dan penjaga gol Australia, Max Larkin yang tangkas mengawal gawang masing-masing daripada dibolosi.
Joshua muncul wira apabila menyelamatkan tiga pukulan penalti yang diambil pemain Australia, iaitu Cooper Burns, Liam Henderson dan Nathan Czinner untuk kemenangan berpihak kepada Jerman, 3-1.
Gol Jerman pula disempurnakan Florian Sperling, Matteo Poljaric dan Michel Struthoff manakala gol tunggal Australia disempurnakan Craig Marais.
Australia yang muncul naib juara edisi lepas, sekali lagi terpaksa berputih mata untuk merangkul kejuaraan tersebut, sekali gus menyaksikan mereka mengulangi pencapaian pada edisi 2016 dan 2017.
Sementara itu, Matteo Poljaric dinobatkan sebagai pemain terbaik manakala Amandeep Lakra dari India muncul penjaring terbanyak dan Joshua dipilih sebagai penjaga gol terbaik.
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan piala kemenangan SOJC edisi ke-11 itu kepada pasukan Jerman.
Terdahulu pada perlawanan hari ini, India menamatkan cabaran di tempat ketiga setelah menewaskan Pakistan 6-5 manakala Great Britain di kedudukan kelima setelah menumpaskan New Zealand 5-3.
Semalam, Malaysia menamatkan kempen SOJC di tempat ketujuh apabila mengalahkan Afrika Selatan 3-2. - Bernama