Tabik karakter KL City, letak isu tunggakan gaji luar padang

Iklan
Pemain KL City, Sean Giannelli diasak pemain Terengganu, Alif Zakaria dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Foto: KL City FC

KUALA LUMPUR (KL) City FC mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tewas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di sebalik isu tunggakan gaji bekas juara empat kali tersebut.

Malah, pengendali KL City, Nenad Bacina bangga apabila pemain-pemain The City Boys bersikap profesional apabila memberikan persembahan terpuji dalam menyaingi angkatan skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner itu.

Iklan
Iklan

"Setiap pasukan mempunyai masalah tersendiri masing-masing, tapi pemain-pemain dan barisan kejurulatihan saya meletakkan di tepi padang sementara isu tunggakan gaji bagi memberikan tumpuan 100 peratus kepada perlawanan.

"Saya gembira melihat pemain-pemain KL City berdepan Terengganu tanpa sebarang masalah apabila mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing penuh professional sepanjang perlawanan," katanya.

Iklan

Beliau juga percaya pengurusan pasukan komited berusaha menyelesaikan isu melanda pasukan dalam masa terdekat.

Juara edisi 1987, 1988, 1989 dan 2021 sebelum itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada, saingan Piala Malaysia selepas dijinakkan 2-4 secara agregat dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus itu.

Iklan

Perlawanan separuh akhir pertama sebelum ini, anak-anak buah Bacina tewas 1-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Oktober lalu.

Pada masa sama Bacina mengucapkan tahniah kepada pasukan Terengganu dan mengakui skuad Penyu sememangnya layak ke perlawanan akhir.

Malah katanya, skuad Steinbruckner memiliki kualiti untuk mencabar trofi Piala Malaysia pada musim ini berdasarkan persembahan dua perlawanan separuh akhir.

"Kami datang ke sini dengan misi kemenangan, namun kurang bernasib baik apabila bolos gol separuh masa pertama.

"Separuh masa kedua kami mengandakan serangan selepas ketinggalan separuh masa pertama dan berjaya menyamakan kedudukan.

"Namun lawan sekali lagi mendahului, biarpun begitu para pemain KL City tidak mengalah sebalik berusaha menyaingi Terengganu sehingga tamat perlawanan," katanya.

Piala Malaysia 2023

Keputusan Perlawanan

Separuh Akhir Kedua

Terengganu FC 2-1 Kuala Lumpur City

Ivan Mamut (m-42, m-67)

Romel Morales (m-51)

(Terengganu menang agregat 4-2)