'Netanyahu tidak boleh dibawa berbincang' - Presiden Erdogan

Iklan
Recep Tayyip Erdogan (kanan) dan Benjamin Netanyahu (kiri).

ISTANBUL - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mengesahkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah putus berikutan perlakuan Israel di Gaza.

Kenyataan terbaharu Erdogan itu dibuat susulan seminggu selepas Israel menegaskan 'menilai semula' hubungannya dengan Ankara disebabkan retorik Turkiye yang semakin hangat mengenai perang Israel-Palestin.

Iklan
Iklan

Israel sebelum ini dilaporkan memanggil balik semua diplomat dari Turkiye dan negara serantau lain sebagai langkah keselamatan.

Tentera zionis ketika ini mengepung bandar terbesar di Gaza, cuba untuk menghancurkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serbuan 7 Oktober ke Israel.

Iklan

Kementerian kesihatan di Gaza, yang dikendalikan oleh Hamas, berkata lebih 9,400 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh sejak serangan Israel dan langkah ketenteraan darat yang semakin sengit.

Erdogan turut memberitahu, Turkiye bagaimanapun, tidak memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Iklan

"Memutuskan hubungan sepenuhnya tidak mungkin, terutamanya dalam diplomasi antarabangsa," jelas Erdogan.

Beliau berkata, ketua agensi perisikan MIT, Ibrahim Kalin sedang menerajui usaha Turki untuk mencuba dan menjadi pengantara bagi menamatkan perang.

"Ibrahim Kalin bercakap dengan pihak Israel. Sudah tentu, dia juga sedang berunding dengan Palestin dan Hamas," kata Erdogan.

Namun, tegas Presiden Turkiye itu, Netanyahu memikul tanggungjawab utama untuk keganasan dan 'sudah kehilangan sokongan rakyatnya sendiri.'

"Apa yang dia perlu lakukan ialah berundur dan hentikan perkara ini," kata Erdogan. - AFP / Awani