PAMPASAN latihan untuk pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) perlu diterima setiap pasukan atau kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Ia kenyataan pahit yang perlu ditelan pasukan akibat ketiadaan usaha mewujudkan ekosistem pembangunan secara sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan kuantiti serta kualiti pemain menerusi penubuhan akademi bola sepak masing-masing.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berpendapat, AMD tidak lagi diperlukan sekiranya setiap pasukan bertanding mampu memiliki sistem akademi bola sepak sendiri.
"Kalau semua 14 negeri ada sistem seperti AMD (akademi pembangunan) kita tak payah ada AMD. Kita (AMD) membuat satu perkara baik yang memudahkan semua pihak.
"Dunia bola sepak sedang berubah dan pampasan latihan itu kita hanya ikut kaedah yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya hari ini.
Ahad lalu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan mana-mana kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih AMD akan dikenakan 'tanda harga’ sebagai insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan.
Perkembangan itu mendapat pelbagai reaksi, khususnya pasukan yang berhasrat mendapatkan pelatih AMD apabila perlu membayar pampasan bermula serendah AS$2,000 (RM8,280) untuk satu-satu pemain selaras dengan garis panduan ditetapkan FIFA.
Bagaimanapun, Stuart menegaskan, jumlah pampasan itu tidak sesuai dikenakan ke atas pelatih elit AMD.
"Jumlah ditetapkan FIFA itu mungkin bersesuaian untuk akademi yang tidak mengeluarkan kos terlalu besar tetapi di AMD kos yang dibelanjakan amat tinggi jadi mungkin kita boleh naikkan sedikit Pampasan Latihan itu.
"Bila kos tinggi kita perlu buat sesuatu untuk tampung balik kos dikeluarkan. Ia bukan langkah untuk membuat untung tetapi kita perlu liputi kos untuk melabur semula wang untuk mengeluarkan lebih banyak pemain berbakat”.
Dalam pada itu, Stuart mengesahkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan didaftarkan secara rasmi di bawah FAM bermula tahun depan. - Bernama