PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bakal menubuhkan feeder club dalam usaha membantu perkembangan pemain-pemain muda di Kuala Lumpur.
Setiausaha Agungnya, Nokman Mustaffa berkata, perancangan penubuhan pasukan itu telah diluluskan ketika Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad pada 17 Disember lalu.
Iklan
Iklan
"Kita telah melihat dari pelbagai sudut sebelum meluluskan penubuhan pasukan tersebut. Perkara pertama dilihat adalah impak serta keberkesanan dalam pembangunan para pemain ibu kota.
"Namun dalam perancangan tersebut kita terpaksa menunggu pengesahan untuk bermain dalam Liga M3 daripada pihak Liga Bolasepak Amatur (AFL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nokman berkata, ia akan menjadi platform terbaik untuk para pemain muda mendekati karier profesional dalam dunia bola sepak sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis dari Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Nokman berharap permohonan untuk beraksi pada saingan Liga M3 akan diluluskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Segala persiapan telah dilakukan oleh pihak persatuan termasuk peruntukan feeder club, padang latihan, proses menandatangani pemain serta pemilihan pemain yang akan ditawarkan kontrak,” katanya.