KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru kepada generasi muda untuk bersama-sama memberikan sokongan dan komitmen bagi memerangi rasuah.
Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk Karunanithy Y Subbiah berkata, golongan muda merupakan tonggak masa hadapan negara, untuk itu kebersamaan mereka dalam agenda ini penting ke arah menjadikan Malaysia bersih daripada rasuah.
Iklan
Iklan
"Tegaskan dalam diri, jangan ambil rasuah dan jangan beri rasuah sebagai pegangan yang perlu diingat, bersama kita menentang rasuah," katanya sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 peringkat Zon Sabah dengan kerjasama INTI College Sabah (ICS) dan Malaysian Association of Private Colleges and Universities (MAPCU) di Auditorium ICS, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan generasi muda supaya sentiasa menjaga diri dan maruah supaya tidak terjebak dengan perbuatan jijik rasuah.
"Ingat setelah memasuki alam pekerjaan bawalah nama nama baik diri, jabatan, negeri dan negara keseluruhannya," tegasnya.
Sambutan HARA 2023 bertemakan"Uniting The World Against Corruption” mensasarkan pelajar-pelajar antarabangsa dari universiti awam dan swasta seluruh negara.
Turut hadir Ketua Eksekutif ICS, Roselyn Chua; Pengarah Eksekutif, MAPCU, Devan G. Nagappan dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Sabah, PKPj Alexander S. Kunghi.