Situasi makin genting, Nurul Ain belum dapat keluar Gaza

Iklan
Nurul Ain dan suaminya (kiri). Haron Hamim (kanan).

SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia yang berada di Gaza, Palestin, Nurul Ain Haron, 37, sentiasa bersedia untuk keluar daripada negara berkenaan jika mempunyai peluang berbuat demikian.

Bapanya, Haron Hamim, 65, berkata, pintu sempadan Rafah di Mesir ketika ini kembali ditutup namun dia meletakkan harapan tinggi untuk melihat Nurul Ain bersama suami yang juga warganegara Palestin, Mohamed Adan Shaat, 33, dapat pulang ke Malaysia dengan selamat.

Iklan
Iklan

"Dia memang nak sangat keluar (Gaza), cuma sekarang tunggu makluman sahaja. Perancangan banyak tapi tak dapat buat apa sebab situasi makin genting di sana.

"Dia masih lagi lakukan kebajikan. Sekarang tengah kumpulkan selimut untuk persediaan musim sejuk bulan Disember tapi masalahnya akaun dibekukan pihak bank. Jadi sukar nak dapatkan barangan ini untuk rakyat di sana (Gaza),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Sinar Harian pada 27 Oktober lalu melaporkan, Nurul Ain dan Mohamed Adan yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah pulang ke kampung halaman di Palestin pada 1 Oktober buat kali pertama selepas hampir enam tahun mereka mendirikan rumah tangga sebelum terkandas di negara berkenaan akibat serangan balas Zionis Israel.

Pada Rabu, lebih 500 warga asing dibenarkan keluar meninggalkan Gaza selepas pintu sempadan Rafah itu dibuka buat pertama kali sejak ia ditutup pada 7 Oktober lalu akibat serangan mengejut Hamas ke atas Israel.

Iklan

Bagaimanapun, pintu masuk utama sempadan itu ditutup semula kepada semua pihak pada Ahad selepas tiga hari ia dibuka susulan pertikaian mengenai pemindahan pesakit yang cedera.

Tambah Haron, anak dan menantunya itu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan berada di kawasan tumpuan orang ramai.

"Macam mana pun, dia masih lagi beri bantuan untuk rakyat di sana (Palestin) tetapi minta orang yang hantarkan. Kadang-kadang adik iparnya yang tolong,” jelasnya.