KOTA BHARU - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja pengorekan di tapak pembinaan Projek Jalan Kampung Joh ke Kampung Kuala Sat, Machang susulan kematian tiga warga Bangladesh, 2 November lalu.
Pengarah JKKP Kelantan, Ir Abdul Aziz Salim berkata, tindakan perundangan akan diambil jika terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.
Menurut Abdul Aziz, siasatan diketuai sendiri oleh beliau, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Kelantan, Nazri Zakaria dan Jurutera Jajahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Machang serta kontraktor yang terlibat.
"Siasatan dijalankan bagi bagi mengenal pasti punca kejadian di RC Culvert No. 6, CH2541 itu," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, tiba-tiba tebing tanah di kawasan itu runtuh dan menimbus mereka.
Tambah Abdul Aziz, tiga pekerja lain ketika itu sudah naik dari lokasi terbabit dan bersedia untuk berehat.
Melalui kenyataan sama, beliau memaklumkan majikan juga diarahkan memastikan kawasan korekan dan kawasan sekitar diperiksa oleh pegawai yang ditetapkan bagi memastikan kawasan korekan selamat termasuk keperluan pemasangan peralatan pelindungan terhadap gelinciran tanah.
"Pihak JKKP Kelantan memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam," katanya.
Beliau menjelaskan, menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuk di tapak pembinaan seperti termaktub di bawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.