Cari jalan tangani masalah kesihatan mental kanak-kanak

Iklan
Lee Lam Thye.

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang melakukan kajian mendalam mengenai kesihatan mental kanak-kanak supaya orang ramai memahami faktor yang menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan tersebut.

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dengan data empirikal yang dijalankan, kerajaan akan lebih mampu untuk mereka bentuk dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan serta pendedahan itu perlu diambil berat kerana kanak-kanak merupakan tonggak negara.

Iklan
Iklan

"Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morboditi Kebangsaan (NHMS) 2019, seramai 424,000 kanak-kanak bergelut dengan masalah tersebut, manakala satu daripada empat remaja mengalami kemurungan dan satu daripada sepuluh remaja telah cuba menamatkan nyawa sendiri.

"Saya mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengenai inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan agensi lain untuk menangani isu ini dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.

Iklan

"Mereka (kanak-kanak) perlu didedahkan dengan perkara baik yang boleh dicapai melalui gaya hidup sihat, kemahiran seperti penyelesaian masalah dan pengurusan tekanan akan membantu meningkatkan kesihatan mental,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Lam Thye, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu membangunkan kesejahteraan mental anak-anak, jadi mereka perlu mempunyai kesedaran tentang perkara tersebut.

Iklan

Ujarnya, daripada NHMS2022, hanya 24.2 peratus remaja yang merasakan ibu bapa dapat memahami masalah serta kebimbangan mereka.

"Kanak-kanak harus mempunyai ruang selamat untuk bercakap tentang perasaan tanpa rasa takut dihakimi, jadi ibu bapa boleh berbual dan memahami tentang perasaan, bukannya dengan menegur sahaja.

"Saya telah menghadapi situasi di mana seorang kanak-kanak tidak dibenarkan mendapat bantuan profesional kerana ibu bapa malu atau tidak mempercayai tentang perkara ini,” jelasnya.

Tambah beliau, KPM diharapkan dapat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi supaya kaunselor pelatih dapat melakukan praktikum dan amali di sekolah.

Ujarnya lagi, guru juga harus dilengkapi dengan pengetahuan asas kesihatan mental seperti kebolehan mengenali pelajar yang mengalami masalah serta kemahiran untuk memberikan sokongan emosi.

"Peranan rakan sekelas atau pembimbing rakan sebaya perlu ditubuhkan di setiap sekolah kerana sesetengah kanak-kanak lebih selesa untuk berbincang dengan rakan sebaya.

"Pembimbing rakan sebaya boleh menjadi penghubung penting antara pelajar yang bergelut sekali gus dapat menyediakan bantuan diperlukan,” jelasnya.

Menurut Lam Thye, kesihatan mental adalah tanggungjawab semua orang dan ia bukan sahaja penting pada bulan Oktober, namun harus menjadi penekanan kepada masyarakat setiap hari.

"Mari kita bekerjasama untuk meningkatkan kesihatan mental anak-anak kita,” katanya.