PENGENDALI baharu Everton, Carlo Ancelotti berkeyakinan mampu mengubah The Toffees kembali menjadi kelab digeruni tidak hanya pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi juga peringkat Eropah.
Menurutnya, misi itu tidak mustahil dapat direalisasikan berdasarkan semangat para pemain Everton dan pengalaman beliau mengurus kelab besar sebelum ini.
"Saya yakin Everton akan kembali bangkit pada saingan EPL. Tapi (membawa Everton bermain di) Liga Juara-Juara adalah sasaran jangka panjang saya kerana dalam bola sepak tiada yang mustahil.
"Saya akan gunakan pengalaman bersama kelab besar sebelum ini untuk membentuk semula Everton. Semasa di Paris Saint-Germain saya berjaya melaksanakannya dan kini saya mahu meneruskannya bersama Everton.
"Kelmarin, saya mengunjungi pusat latihan dan saya akui suasananya cukup positif. Pemilik kelab pula mempunyai visi membina stadium baharu sekali gus membuktikan mereka mahu Everton lebih ke depan pada masa depan,” katanya.
Bekas pengendali Napoli itu dilantik sebagai pengurus baharu Everton pada Sabtu lalu dengan kontrak sehingga 2024.
Don Carlo bakal memulakan tugas pertamanya mengemudi Everton bagi aksi menentang Burnley pada Khamis ini sekali gus bermulalah misi mengangkat semula martabat kelab yang berada pada kedudukan 15 liga dengan 19 mata dari 18 perlawanan.
Untuk rekod, Ancelotti pernah membawa Parma, Juventus, AC Milan, Chelsea, Paris Saint-Germain, Real Madrid, Bayern Munich dan Napoli bersaing di Liga Juara-juara.
Ancelotti juga telah tiga kali menjulang kejuaraan bola sepak Eropah itu iaitu dua kali bersama AC Milan dan sekali bersama Real Madrid.