KUALA LUMPUR - Sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di Selangor dan Perak setakat jam 8 malam ini.
Di SELANGOR, lima PPS dibuka mulai jam 3 petang tadi di daerah Sepang berikutan banjir akibat limpahan air Sungai Dengkil susulan hujan berterusan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi berkata, 255 mangsa melibatkan 67 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jenderam Hilir.
Katanya, jumlah mangsa di dua lagi PPS iaitu Dewan Orang Ramai Dengkil dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil masih dalam proses kemas kini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Antara kawasan yang terjejas banjir itu ialah Kampung Sungai Buah, Jenderam Hilir, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam Hilir, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Chemperai.
Sementara di PERAK, jumlah mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 220 orang daripada 64 keluarga berbanding 272 orang daripada 75 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mereka ditempatkan di empat PPS di Hilir Perak dan Kerian.
Di Hilir Perak, 53 orang berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 13 orang di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, manakala di Kerian, 97 orang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang berlindung di PPS SK Alor.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatatkan ketinggian 3.96 meter berbanding paras normal iaitu dua meter manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dan Sungai Kerian di Selama pula pada paras berjaga-jaga iaitu masing-masing dengan 13.06 meter dan 11.85 meter berbanding paras normal 10 meter. - Bernama