Cadangan bernas ‘ajar’ YB ponteng Parlimen

Iklan
Dewan Rakyat

TINDAKAN tegas seperti menyiarkan nama dan memotong elaun wakil rakyat yang dengan sengaja ponteng sidang Parlimen adalah cadangan bernas untuk ‘mengajar’ ahli Parlimen supaya lebih bertanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan.

Biar rakyat di kawasan dan seluruh Malaysia tahu bahawa YB yang dipilih dalam pilihan raya sebelum ini tidak serius untuk berkhidmat kerana sering ponteng persidangan Parlimen tanpa alasan munasabah.

Iklan
Iklan

Kalau boleh bukan sahaja dipaparkan nama mereka di laman web Dewan Rakyat, tetapi juga platform lain seperti media sosial beserta gambar masing-masing.

Dengan cara itu, mereka akan sedar bahawa tugas yang mereka galas adalah besar dan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa.

Iklan

Seperti yang dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, isu YB yang ponteng dengan sengaja adalah serius apabila ada rakyat dan netizen yang membuat aduan kepadanya.

Kata Johari, isu itu juga akan dibincangkan dalam jawatankuasa Dewan Rakyat memandangkan ramai yang minta diambil tindakan.

Iklan

Jika diamati siaran langsung perbahasan, boleh diperhatikan hanya berapa kerat sahaja YB yang berada dalam Dewan Rakyat, selebihnya adalah kerusi dan meja kosong.

Pemandangan dewan yang kosong sebenarnya menyakitkan mata apabila medium terbaik untuk membahaskan permasalahan rakyat tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.

Bahkan, sudah banyak kali rakyat dihidangkan dengan berita-berita mengenai penangguhan persidangan beberapa minit kerana tidak cukup korum ahli Parlimen.

Selain itu, cadangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) supaya gaji dan elaun YB gagal hadir penuh persidangan dipotong wajar disokong untuk memberi peringatan supaya lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Rakyat sebenarnya menaruh harapan yang menggunung kepada YB yang telah dipilih itu untuk membawa suara mereka di Dewan Rakyat, berbahas dengan fakta dan mencari solusi kepada isu-isu rakyat.

Paling mengecewakan adalah sikap wakil rakyat yang di Parlimen pun hilang, manakala di kawasan sendiri ghaib tak nampak bayang.

Masa nak raih undi wajah terpampang merata-rata boleh nampak selalu, apabila dah menang tanggungjawab dan amanah mereka buat tak tahu.