Kerajaan Kelantan akan jumpa NRECC bentang isu KSAS

Iklan
Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi membentangkan isu berkait cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini.

Beliau berkata, pertemuan itu susulan kenyataan Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengatakan pihaknya akan bertemu kerajaan Kelantan dalam tempoh dua minggu lagi bagi membincangkan isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH kita (kerajaan negeri) akan jumpa dan bentang semua perkara tersebut (KSAS)," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada Malam Mahabbah Media Bersama Kepimpinan Kerajaan Kelantan 2023 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dan barisan Exco kerajaan negeri.

Iklan

Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini sudah memberikan maklumat lengkap secara bertulis kepada pihak kementerian.

Beliau melihat ada salah faham berkait dengan perkara tersebut dan kerajaan negeri tidak membatalkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, semua pihak perlu faham dan membezakan perkara tersebut.

"Saya lihat benda ini seolah-olah jadi, sedangkan ia masih peringkat kajian," katanya.

Media pada Ahad melaporkan, kerajaan akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh mengenai cadangan pengubahsuaian KSAS di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi.

Nik Nazmi berkata, mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya itu melibatkan Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta kerajaan negeri.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, cadangan pengubahan rancangan pemajuan KSAS Kelantan tidak akan menjejaskan dasar kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan keluasan HSK seluas 629,880.95 dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS iaitu 514,898.73 hektar.

Menurut beliau, pengekalan KSAS turut melibatkan kawasan punca tadahan air seluas 114,982.22 hektar.