AURA 'pemain ke-12' Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun antara ujian karakter menanti SMK Seksyen 11, menjelang perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 (B-18) 2023 pada Isnin.
Itu jangkaan cabaran dari luar padang pengendali skuad bola sepak SMK Seksyen 11, Samsul Ibrahim, selain tekanan dalam padang yang akan dijelmakan pasukan dari Klang kendalian Mohd Ismadi Samsudin tersebut.
"Selain itu, semangat juang tinggi para pemain SMK Jalan Kebun juga bakal menjadi ujian karakter kepada pemain-pemain saya," katanya kepada Sukan Sinar.
Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 2023 menemukan SMK Seksyen 11, menentang SMK Jalan Kebun bakal berlangsung di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Shah Alam pada Isnin.
Kejuaraan kali ini mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad).
Pada masa sama, Samsul sekali lagi mengharapkan persembahan terpuji pasukan berpangkalan di Shah Alam tersebut selepas menghadirkan tentangan sengit kepada SMK Dato' Harun di separuh akhir.
Jelasnya, rezeki tidak menyebelahi pasukan itu ketika berdepan jagoan Tanjung Karang berkenaan walaupun memiliki peluang dan percubaan menjaringkan gol.
"Jadi saya berharap para pemain mengunakan sekali lagi peluang menampilkan persembahan terpuji seperti dijelmakan semasa berdepan SMK Dato' Harun.
"Kesemua pemain perlu berikan persembahan 120 peratus untuk tempat ketiga, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan," katanya.