Banjir: Selangor buka dua lagi PPS, Perak kekal empat

Iklan
Seramai 61 orang termasuk seorang bayi ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bangi ketika tinjauan pada Ahad. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor menjadikan keseluruhan tujuh setakat pagi ini, bagi menempatkan mangsa banjir di Sepang, Hulu Langat dan Subang Jaya.

Iklan
Iklan

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 579 orang melibatkan 157 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS berkenaan.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih di Hulu Langat menempatkan 96 mangsa manakala PPS Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Camelia Seksyen 10, Putra Heights seramai 10 mangsa.

Iklan

Empat lagi PPS dibuka di Sepang menempatkan 473 mangsa iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil.

Sementara itu di Perak, seramai 219 mangsa banjir daripada 63 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.

Iklan

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, jumlah mangsa kekal 53 orang daripada 17 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 12 daripada tiga keluarga masih di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

"Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.02 meter manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dan Sungai Slim di Slim River pada paras berjaga-jaga, masing-masing dengan 13.29 meter dan 25 meter.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi, cuaca diramal baik pagi ini, namun hujan dan ribut dijangka berlaku di kebanyakan daerah di Perak pada petang dan malam ini. - Bernama