SEPANG - Cubaan seorang warga asing menyeludup tiga ekor tenggiling berjaya dipatahkan oleh pasukan taskforce pencegahan penyeludupan hidupan liar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Oktober lalu.
Bukan sahaja gagal menyeludup masuk haiwan liar tersebut, suspek turut ditahan reman di atas kesalahan dilakukan.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wong Pun Sian berkata, anggota polis bantuan KLIA Terminal 2 menahan seorang penumpang lelaki warganegara India bersama satu bagasi jam 9 malam.
Beliau berkata, pihaknya menerima makluman daripada anggota polis bantuan bertugas yang telah mengesan imej mencurigakan disyaki hidupan liar.
Kata beliau, bagasi tersebut kemudiannya telah diperiksa bersama pegawai Jabatan Perlindungan Haiwan dan Hidupan Liar (Perhilitan).
"Setelah bagasi dibuka, terdapat tiga bekas kecil mengandungi hidupan liar iaitu tenggiling daripada kumpulan spesies Armadillo.
"Pemilik bagasi kemudiannya ditahan bersama-sama dengan hidupan liar tersebut dan dibawa ke pejabat Jabatan Perhilitan di KLIA Terminal 2 untuk proses dokumentasi dan pengecaman spesis hidupan liar tersebut.
"Kes telah diserahkan kepada JKDM dan suspek telah direman bagi membantu proses siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pun Sian berkata, modus operandi yang disyaki didalangi sindiket telah menawarkan barangan kepada suspek melalui ejen di India yang menguruskan bagasi untuk dibawa ke Colombo.
Jelasnya, semua urusan tiket penerbangan serta penginapan telah diuruskan oleh ejen tersebut.
Menurutnya, urusan serahan bagasi telah dilakukan di kawasan Gateway KLIA Terminal 2, sebelum suspek membawa bagasi tersebut untuk menaiki penerbangan ke destinasi dituju.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM50,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.
Tambahnya, hukuman tidak lebih daripada dua kali ganda nilai barang atau RM500,000, mana-mana jumlah yang lebih besar, atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu kata beliau, orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan.
Tegasnya lagi, orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti penyeludupan.
Menurutnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
"Pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.