Keputusan Malaysia sertai APEC dibuat dalam masa dua hari lagi - PM

Iklan
Anwar ketika berucap merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 Grand Finale di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada Isnin. - Foto: Bernama
KUALA LUMPUR - Malaysia akan membuat keputusan dalam tempoh dua hari ini berhubung penyertaan negara dalam Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Asia Pasifik (APEC) 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya sedang berkoordinasi dengan semua negara yang terbabit dan setakat ini kebanyakan (negara) hadir. Jadi, saya akan semak perkara ini dalam masa satu atau dua hari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 Grand Finale pada Isnin APEC ialah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada tahun 1989 untuk memanfaatkan saling bergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik.

AELW tahun ini akan diadakan di San Francisco, California dari 11 hingga 17 November. Kesemua 21 ekonomi anggota APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada populasi global, hampir 50 peratus daripada perdagangan global dan lebih daripada 60 peratus eksport barangan AS.

Ekonomi anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada; Chile, China; Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulangi bahawa transformasi digital adalah strategi utama untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang berjaya.

"Ekonomi digital kita adalah antara tonggak ekonomi utama Malaysia dan pada masa ini menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Kita mengunjurkan angka ini akan melonjak kepada 25.5 peratus (daripada KDNK) menjelang 2025," katanya. Anwar berkata pada suku ketiga 2022 sahaja, ekonomi digital menjana AS$15.7 bilion (AS$1=RM4.67) dalam pelaburan, sekali gus memperkukuh statusnya sebagai antara sektor yang paling pesat berkembang. - Bernama