KUALA LUMPUR - Selain titipan doa dan ucapan manis daripada keluarga dan peminat, Datuk Aznil Nawawi juga sudah tentu tidak mampu menafikan bahawa pelantikannya sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) menjadi hadiah yang paling istimewa pada hari kelahirannya ke-61.
Diumumkan secara rasmi sebagai sebahagian daripada keluarga besar Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM pada Oktober lalu, Aznil secara peribadi mengakui, pelantikan sebagai Profesor Adjung sangat besar maknanya buat diri beliau.
Masakan tidak, di universiti tertua negara itulah pengacara terbilang itu meraih ijazah sarjana muda dalam pengajian ekonomi dan kini, rezeki ditawarkan pula buat beliau untuk berkongsi ilmu, idea dan pengalaman di sana.
Dalam temu bual bersama Astro Awani, Aznil atau mesra disapa Pak Nil berkongsi rasa terharu kerana dipilih sebagai ahli akademik di universiti terulung itu bersandarkan pada status dan pengalamannya sebagai anak seni lebih tiga dekad.
"Saya sangat bersyukur dan menginsafi setiap rezeki yang Allah aturkan kepada saya. Pada usia 61 tahun, diberi peluang mendampingi universiti yang menjadi tempat saya pernah menimba ilmu semasa usia muda adalah nikmat yang sangat indah.
"Saya sangat gembira untuk terus mencurahkan apa yang mampu demi kebaikan masrayakat.
"Justeru, setiap hari doa yang tidak putus-putus saya minta daripada Allah SWT ialah panjangkan usia saya dan sihatkan akal fikiran serta tubuh badan untuk saya berpeluang bekerja dan berbakti untuk masyarakat,” ujar personaliti yang sangat masyhur sebagai pengacara program realiti popular, Akademi Fantasia terbitan Astro itu lagi.
Ikrar Aznil, sebagai Profesor Adjung di UM, beliau akan memberi tumpuan khusus pada aspek komunikasi dalam mana-mana perkongsian ilmu atau kuliah yang diatur oleh pengurusan universiti itu kelak.
Kata anak seni kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, beliau sangat senang dan teruja untuk berkongsi ilmu komunikasi dengan seluruh lapisan masyarakat.
Sebagai alumni UM, Aznil berhasrat membentuk peribadi setiap anggota universiti khususnya pelajar-pelajar mengenai kepentingan menekankan aspek komunikasi selain personaliti yang menawan.
"Sentiasa menjadi cita-cita saya melahirkan masyarakat yang memiliki personaliti menawan yang merangkumi segenap aspek dalam diri kita.
"Mudah-mudahan hasrat saya itu dapat diperluaskan lagi menerusi tugas baharu saya di Universiti Malaya,” ujar Aznil yang juga sangat terkenal dengan kecintaannya melakukan kerja-kerja amal.
Dan hari ini, sempena menyambut hari kelahirannya ke-61, Aznil berkata, pada usia itu apa yang sentiasa beliau ingatkan pada diri ialah memperbaiki segala kelemahan yang ada dan dalam masa berusaha menggandakan jariah untuk bekalan hari esok.
Melihat persekitaran dunia yang semakin menggusarkan terutama dengan perang yag tercetus di Gaza membuatkan Aznil melihat kehidupan manusia hari ini sangat rapuh.
"Simpati saya buat mangsa di Palestin. Kesukaran dan kepayahan hidup mereka harus dijadikan pedoman buat kita.
"Dalam masa sama, inilah ruang dan kesempatan terbaik untuk kita menghulurkan bantuan kemanusiaan buat saudara-saudara kita di sana,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata itu lagi. - Awani