GEORGE TOWN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan untuk pasaran tempatan mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada November hingga Mac tahun depan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sehingga kini, LKIM mempunyai 90 metrik tan stok bekalan ikan sebagai persediaan sekiranya berlaku kekurangan bekalan sepanjang MTL ini.
Menurutnya, selain LKIM, pihaknya juga berkolaborasi dengan pihak swasta yang berkaitan dengan industri perikanan menjadikan jumlah stok bekalan sedia ada ketika ini ialah 1,600 metrik tan.
"Kawasan yang bakal terjejas adalah di Pantai Timur, itu pun melibatkan nelayan di zon A kerana mereka menggunakan bot kecil. Nelayan di zon B dan C yang menggunakan bot besar, mereka masih boleh menangkap ikan melebihi lima batu nautika.
"Selain itu, nelayan di Pantai Barat masih menjalankan kegiatan menangkap hasil laut seperti biasa. Ini bermakna, aktiviti di laut masih berterusan, tidak terhenti. Kita juga ada stok ikan import.
"Oleh itu, kita yakin, tiada masalah dalam bekalan ikan kerana stok yang ada, mencukupi sehingga Mac tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini pada Isnin.
Muhammad Faiz berkata, pihaknya berharap rantaian yang terlibat dalam penjualan ikan tidak menaikkan harga hasil laut terutamanya ikan berikutan bekalan mencukupi sepanjang MTL ini.
"Apabila bekalan cukup, harga tidak sepatutnya dinaikkan. Saya harap, pihak yang terlibat dalam rantaian penjualan ikan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga hasil laut terutamanya ikan hanya kerana berlakunya monsun.
"Semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemegang taruh persatuan nelayan, pemborong, peniaga, pengangkutan dan peruncit, dapat memainkan peranan membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, LKIM akan memperbaiki semua jeti uzur di seluruh negara secara berperingkat bagi melancarkan urusan penangkapan hasil laut.
"Banyak jeti berusia antara 30 hingga 40 tahun dan banyak yang perlu dibaiki. LKIM pun dah banyak baiki jeti-jeti ini dari masa ke semasa contohnya di Kampung Acheh di Lumut, Kuantan, Kuala Kedah dan terbaru Chendering di Terengganu. Kita menyediakan peruntukan namun ia agak terhad.
"Jumlah jeti di seluruh negara yang ada ketika ini adalah 397 buah namun setakat ini, sebanyak 30 peratus jeti-jeti uzur ini perlu dibaiki segera. Kita mempunyai 49 kompleks di seluruh negara," katanya.