MTL: 5,063 sekolah diwartakan sebagai PPS - Fadhlina

Iklan
Fadhlina (tengah) bersama wakil sukarelawan KPM, Dr Nurhasni Mohd Noor (dua dari kanan) selepas menyarungkan jaket keselamatan sebagai gimik pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi MTL 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Dato' Harun (2), Jalan Klang Lama pada Isnin. - Foto Bernama

PETALING JAYA - Kementerian Pendidikan telah menggerakkan jawatankuasa bagi menghadapi Monsun Timur Laut dan mewartakan 5,063 sekolah di seluruh negara sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, jawatankuasa yang merentas kementerian dan agensi itu, akan terlibat dalam penyediaan PPS, pemindahan aset, kesukarelawan serta peruntukan penyelenggaraan pascabencana.

Iklan
Iklan

"Surat siaran telah kita keluarkan pada Oktober untuk memastikan semua sekolah kita diberikan peringatan, khususnya sekolah yang menjadi pusat pemindahan sementara.

"(Sejumlah) 5,063 sekolah yang telah diwartakan sebagai PPS dan kita juga sedang bersedia dengan sebarang arahan, untuk persiapan menjadikan lebih kurang tujuh atau lapan sekolah sebagai pusat pemindahan kekal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Dato' Harun (2), Jalan Klang Lama pada Isnin.

Iklan

Fadhlina berkata, selain itu, kementerian turut memperkasakan pasukan pengurusan bencana peringkat Jabatan Pendidikan Negeri, bagi membantu menyalurkan maklumat dan data berkaitan bencana serta mengurus hal ehwal berkaitan bencana dalam negeri masing-masing.

Fadhlina berkata, pihaknya juga telah membuat persediaan menghadapi kesan MTL untuk pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang dijadual bermula 5 Disember ini bagi peperiksaan amali dan ujian bertulis mulai 30 Januari depan.

Iklan

"Pelajar (SPM) yang duduk asrama, akan duduk asrama...kalau ada isu yang berkait rapat dengan banjir, PPS, persiapan peperiksaan telah pun kita siapkan,” katanya.

MET Malaysia melalui Laporan Tinjauan Cuaca bagi Tempoh September 2023 hingga Mac 2024 meramalkan Monsun Timur Laut 2023/2024 dijangka bermula pada November 2023, dengan empat hingga enam episod luruan mosun yang membawa hujan berterusan dan berpotensi menyebabkan banjir. - Bernama