BACHOK - Seorang ibu mengalirkan air mata sebaik menerima segulung ijazah bagi mewakili Allahyarham anak lelakinya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kali ke-13, di Dewan Tuaku Canselor UMK, di sini pada Isnin.
Rohana Sahat, 61, mewakili Allahyarham Muhammad Ibrahim Abd Aziz, pelajar Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) yang diumumkan sebagai penerima ijazah secara anumerta.
Dia turut dilihat mengesat air mata sebaik sahaja menerima ijazah anumerta yang disampaikan oleh Tengku Pro-Canselor UMK, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Ujarnya, Muhammad Ibrahim merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik yang sangat disayangi dalam kalangan keluarga malah sepanjang pengajian di UMK arwah disenangi oleh pensyarah dan rakan-rakannya ketika di kampus.
Kata Rohana, dia berasa sedih sejak menerima surat jemputan daripada UMK untuk menghadiri konvokesyen itu namun tetap menggagahkan diri demi Allahyarham.
"Pada awalnya, memang saya keberatan untuk datang, namun memandangkan ini impian arwah untuk memperoleh segulung ijazah, jadi saya kuatkan hati berada di UMK untuk mendengar namanya diumumkan sebagai penerima ijazah,” katanya kepada pemberita, di sini pada Isnin.
Muhammad Ibrahim yang berasal dari Kampung Parit Buaya, Muar, Johor meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal kira-kira jam 9 malam, 12 November tahun lalu.
Rohana berkata, Allahyarham Ibrahim menyimpan impian untuk menjadi seorang usahawan sebaik sahaja tamat pengajian di UMK dan sejak kecil lagi arwah banyak membantu dirinya berniaga di kampung.
Tambahnya, setiap kali cuti semester arwah akan membantunya berniaga di kantin di sekolah pula.
"Saya sangat terasa kehilangan Ibrahim kerana dia rapat dengan saya dan keluarga. Dia juga seorang yang kelakar dan suka menceriakan suasana apabila kami berkumpul.
"Arwah juga penyayang dan akan memimpin tangan saya kalau berjalan ke mana-mana. Dia tidak segan untuk memeluk saya walaupun di hadapan rakan-rakan hingga digelar anak manja mak,” katanya.