SHAH ALAM - Seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diramal mengalami ribut petir serta hujan lebat sehingga jam 6 petang pada Isnin.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan sama berlaku di seluruh Melaka dan Johor manakala beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.