SEREMBAN - Sebanyak 11 daripada 15 projek pembangunan fizikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Negeri Sembilan yang diketegorikan sebagai projek sakit atau lewat jadual, berjaya disiapkan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia hasil tindakan pemantauan secara proaktif yang dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
"Salah satu projek yang berjaya dipulihkan hasil daripada tindakan intervensi yang dilaksanakan oleh PPN Negeri Sembilan adalah projek membina Kompleks Sukan Rembau yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
"Projek tersebut berjaya dipulihkan melalui pelantikan kontraktor penyelamat disebabkan prestasi kontraktor terdahulu tidak memuaskan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MPTNg) di Wisma Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Isnin.
Menurutnya, empat projek pembangunan fizikal yang melibatkan projek di bawah tiga buah kementerian masih dalam proses untuk disiapkan.
Jelasnya, empat projek itu ialah projek meroboh dan membina Klinik Kesihatan Jenis 2, Tampin; projek pembinaan Pusat Pakar Pergigian Seremban; pembinaan Kompleks Sukan Gemas di Tampin dan projek menaik taraf Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah.
"Projek berkenaan dikategorikan sebagai sakit antaranya disebabkan masalah kontraktor, pekerja, kewangan dan kegagalan mematuhi program dan jadual kerja dirancang.
"Agensi-agensi pelaksana yang terlibat telah diarah untuk terus memantau secara rapi kemajuan projek-projek tersebut dengan mengambil tindakan ke atas pelan pemulihan yang telah ditetapkan.
Tambahnya, jika pihak kontraktor didapati masih gagal memperbaiki prestasi, tindakan penamatan kontrak perlu dilaksanakan dan seterusnya melantik kontraktor penyelamat dengan kadar segera bagi menyiapkan projek.