BANGI - Mangsa banjir di sekitar Bangi dinasihatkan untuk tidak pulang ke kediaman masing-masing meskipun air telah mula surut.
Penyelaras bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat, Siti Hajar Jelani berkata, dengan situasi tidak menentu dan masih berlaku hujan yang agak lebat, mangsa banjir dinasihatkan untuk terus kekal di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi, dekat sini.
Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Masyarakat JKM Hulu Langat berkata, pihaknya juga masih tidak mengetahui bila tarikh untuk kumpulan mangsa banjir boleh pulang ke kediaman masing-masing.
"Mangsa kemungkinan besar akan dibenarkan pulang setelah pemeriksaan keselamatan dilakukan oleh pihak berwajib.
"Lumpur juga agak tinggi di rumah yang dilanda banjir kerana air naik agak tinggi sehingga paras kepala dan melepasi pagar rumah.
"Selain itu, tekanan air juga masih rendah kerana semua orang menggunakan air dengan banyak ketika ini, seterusnya menyukarkan semua orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membersihkan rumah-rumah terkena banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, penempatan di SK Bangi mempunyai kapasiti kira-kira 350 mangsa dalam satu-satu masa.
Katanya, pelbagai kemudahan disediakan termasuk tandas bergerak, khemah bencana, bantal, selimut, sejadah, telekung, tuala wanita, kain pelikat dan kain batik.
Selain itu menurutnya, barangan keperluan bayi seperti susu dan Pampers turut dibekalkan kepada mangsa memerlukan.
Tambahnya, bekalan air bersih turut disediakan oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan penyediaan dua tangki penyimpanan air.
"Dengan izin Tuhan, banyak pihak telah menyalurkan bantuan sejak hari pertama pusat pemindahan mangsa bencana di SK Bangi ini beroperasi sejak semalam (Ahad).
"Pelbagai jenis makanan dan minuman diberikan oleh orang ramai bagi meringankan beban mangsa," ujarnya.
Kata beliau, Lembaga Zakat Selangor yang diketuai oleh Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan, Md Yusmizan Yusuf juga hadir menyerahkan bantuan di pusat pemindahan mangsa bencana di SK Bangi pada Isnin.
Tambah Siti Hajar, sebelum pusat pemindahan mangsa bencana di SK Bangi beroperasi, terdapat dua lokasi dijadikan tempat berlindung sementara.
Jelasnya, dua lokasi itu adalah di Tabika Perpaduan Bangi Lama dan balai raya Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Bangi Lama.
"Namun kedua-dua lokasi tersebut telah ditutup semalam, setelah dibuka kira-kira dua jam ekoran hujan lebat," ujarnya.