BESUT - Mayat bayi perempuan cukup sifat ditemukan di dalam plastik di sebuah tandas surau di Pengkalan Nyireh, dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, berkata, mayat bayi yang dipercayai meninggal selepas 48 jam itu dijumpai oleh orang awam yang terhidu bau kurang menyenangkan dari tandas berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurutnya, wanita yang berusia 48 tahun itu bersama seorang rakannya menjumpai sebuah baldi berwarna merah yang berada dalam keadaan telungkup di tandas tersebut.
"Apabila dibuka baldi itu, mereka menjumpai mayat bayi perempuan dan kemudian terus memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa surau supaya melaporkan perkara itu kepada polis.
"Saya mengesahkan pihak polis menerima satu laporan pada jam 11.13 pagi berhubung penemuan mayat bayi perempuan yang meninggal dunia di dalam plastik di tandas surau berkenaan.
Katanya, mayat bayi tersebut telah dihantar ke bahagian Forensik Hospital Besut untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, pihak polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung kes ini," ujarnya.