WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) 'memperkukuhkan' campur tangan di Asia Barat dengan mengumumkan ketibaan kapal selam berkuasa nuklear di rantau itu.
Penganalisis mendakwa pengumuman jarang berlaku itu dikhuatiri mencetuskan provokasi kepada Iran dan proksi mereka ketika ketegangan di Asia Barat semakin meningkat.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) pada Ahad memaklumkan kapal selam kelas Ohio atau SSGNs itu telah memasuki 'kawasan jagaannya'.
Catatan menerusi media sosial berserta gambar kapal selam yang muncul pada permukaan Terusan Suez di timur laut Mesir itu tidak menyatakan jenisnya, namun banyak pihak percaya ia adalah SSGNs.
"SSGNs boleh menghantar kuasa tembakan yang sangat dahsyat. Tiada lawan AS boleh mengabaikan ancaman itu," kata bekas Pengarah Operasi di Pusat Perintah Risikan Bersama Pasifik AS, Carl Schuster.
Difahamkan, kapal selam tersebut akan menyertai sejumlah aset Tentera Laut AS lain yang sudah ditempatkan di kawasan itu termasuk dua kapal perang.
Perkembangan terbaharu 'campur tangan' AS itu diumumkan ketika Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengadakan lawatan bersama pemimpin Arab di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat terhadap kuasa besar tersebut kerana gagal menghentikan kekejaman sekutunya, Israel ke atas Genting Gaza. - Agensi
Info
>Tentera Laut AS memiliki empat kapal selam kelas Ohio atau SSGNs yang merupakan bekas kapal selam misil balistik yang diubah suai untuk menembak misil cruise Tomahawk. Setiap Tomahawk berupaya membawa 1,000 paun kepala peledak letupan tinggi.
>Setiap SSGN boleh membawa 154 misil cruise Tomahawk.
>Magnitud kuasa tembakan pernah ditunjukkan pada Mac 2011 ketika kapal selam, USS Florida melancarkan hampir 100 Tomahawk menyasarkan Libya. Tembakan itu menandakan kali pertama SSGNs digunakan dalam pertempuran.