10 syarikat di Perak terima dana NCER lebih RM16 juta

Iklan
Saarani (tengah) turut menyaksikan Majlis Penyerahan Dokumen Bagi Program NTIC dan Majlis Penghargaan Kepada Syarikat selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak, di sini pada Isnin.

IPOH - Sebanyak 10 syarikat di Perak menerima agihan Dana Usahawan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjumlah lebih RM16 juta bagi merangsang pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, manfaat diterima usahawan itu hasil kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi membantu PMKS di negeri ini terus berkembang dan berdaya saing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu juga, Pusat Inovasi Teknologi Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NTIC) yang diterajui NCIA turut berjaya memudahkan kerjasama antara syarikat multinasional dan tempatan khususnya dalam menarik pelabur di Perak.

"Inisiatif yang dilaksanakan NCIA itu sangat signifikan dalam menjayakan agenda kerajaan negeri untuk meningkatkan ekosistem dan kumpulan bakat di Perak. Usaha NCIA ini telah berjaya menarik pelaburan, memupuk perniagaan tempatan dan memperkasakan komuniti.

Iklan

"Kami berharap meneruskan kerjasama dengan NCIA untuk terus menarik pelaburan, memupuk inovasi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Perak bagi melaksanakan strategi yang akan meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

Iklan

Katanya, NCIA juga akan terus memainkan peranan penting di Perak dalam melaksanakan program berteraskan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) dan sehingga kini seramai 5,333 peserta telah menjalani latihan kemahiran TVET sebagai persediaan memenuhi pasaran pekerjaan ketika ini.

Beliau berkata, NCIA juga komited untuk meningkatkan daya saing PMKS yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk penduduk tempatan.

"PMKS ini termasuk melibatkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian moden. Hasil daripada usaha tersebut, NCIA berjaya menarik kemasukan lebih RM480 juta pelaburan langsung domestik (DDI) daripada lebih 8,700 perusahaan tempatan sejak 2019.

"Kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai di Perak, tetapi perjalanan kami tidak berakhir di sini. NCIA tetap berdedikasi untuk memupuk pertumbuhan ekonomi, memupuk inovasi dan memperkasakan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Haris menjelaskan dalam sektor pelancongan pula, NCIA telah membantu membangunkan semula Taman Eko Rimba Lata Kinjang dengan menaik taraf pelbagai kemudahan untuk pelancong.

Pihaknya juga turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang (KOALK) bagi menguruskan kawasan pelancongan berkenaan yang berupaya meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Sejak dibuka pada 2022, Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah berjaya menarik seramai lebih 110,000 pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus membantu KOALB menjana pendapatan sebanyak RM1.27 juta.