Kerajaan pertimbang bantuan tunai bulanan - PM Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju mempertimbangkan bantuan tunai khas secara bulanan untuk melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK) makanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 yang berlangsung pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan tersebut meliputi isi rumah yang tidak berkemampuan menjana aktiviti pendapatan atas faktor usia atau kesihatan.

Ujar beliau, agensi juga perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program di sediakan kerajaan dalam tempoh berbaki tiga bulan selain diserapkan di dalam program mengikut kesesuaian.

Iklan

"Banyak usaha dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi miskin tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan," katanya.

Jelas Anwar, usaha tersebut telah pun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di dalam usaha menarik keluar rakyat dari belenggu miskin tegar.

Iklan

"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan bahawa segala perancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan memberi nilai yang terbaik kepada negara dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan bagi mencapai matlamat Malaysia Madani," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk menambah baik proses pelaksanaan projek perbelanjaan pembangunan (DE) dengan pembentukan pasukan rentas kementerian.

Ia membabitkan antaranya Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya dan lain-lain jabatan bagi menyemak serta menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan.

Jelas beliau, hal itu boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan telah menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi.

"Turut didapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sukar dilakukan dengan berkesan dan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos.

"Ini boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT," katanya.

Menurut beliau, keputusan dasar ke arah pemusatan (sentralisasi) pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi serta kos dilaksanakan Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sebagai persediaan ke arah GovTech.

Dalam pada itu Anwar berkata, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama dan faktor geopolitik.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, perkembangan mata wang ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

"Usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuhkan daya saing Malaysia.

"Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan," katanya.

Jelas beliau, Bank Negara Malaysia komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.