Pesakit kanser giat bantu mangsa banjir

Iklan
Pasah (kanan) tidak membataskan pergerakan dan aktivitinya dalam membantu mangsa banjir lain di PPS SMK Dengkil pada Isnin. - Foto Bernama

DENGKIL - Biarpun dirinya sedang berjuang melawan penyakit kanser, keadaan itu tidak membataskan pergerakan dan aktiviti Pasah Ismail untuk membantu mangsa banjir di sekitar Dengkil.

Pasah, 42, yang berasal dari Miri, Sarawak berkata, setiap kali banjir melanda kawasan itu, dia akan menerima sumbangan makanan dan barangan keperluan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Iklan
Iklan

"Situasi ini berlaku hampir setiap kali banjir kecuali kalau saya memang tidak sihat, namun ketika banjir besar berlaku tahun lepas, saya gagahkan juga diri bersama rakan NGO kerana itu tanggungjawab.

"Saya juga sudah diamanahkan dengan bantuan-bantuan yang disumbang oleh orang perseorangan, organisasi dan sebagainya,” katanya yang turut menjadi mangsa banjir dan ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil.

Iklan

Ketika ditemui Bernama di PPS itu di sini pada Isnin, Pasah yang menghidap kanser usus itu berkata, dia terpanggil untuk melakukan aktiviti sukarelawan itu bagi mengurangkan ingatan terhadap sakitnya.

Seorang lagi mangsa banjir di PPS berkenaan, Zahana Sidek, 50, berkata, dia mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit setiap tahun apabila rumahnya di Kampung Chemperai dilanda banjir sehingga mengakibatkan kelengkapan elektrik, perabot, tilam dan motosikal rosak.

Iklan

"Setiap tahun juga keluarkan duit untuk beli tilam baharu (dan barang lain yang rosak) sehingga duit simpanan pun habis,” katanya yang berharap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu untuk menangani isu banjir di kampung itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi turut melawat mangsa banjir di PPS berkenaan yang dibuka sejak semalam dan menempatkan 221 mangsa banjir dari Kampung Chemperai, Kampung Seri Tanjung dan kuarters Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen). - Bernama