PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dijangka berdepan saingan sengit pesaing terdekat yang berusaha memecahkan penguasaan The Reds pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bekas tonggak The Reds, John Barnes berkata, beliau menjangkakan beberapa kelab gergasi liga akan membuat pembelian besar-besaran para pemain baharu bagi menyaingi juara Eropah itu.
Menurut Barnes, beliau percaya Liverpool mampu bersaing untuk mendapatkan trofi, namun perlu bergelut dengan saingan pencabar lain.
"Pesaing Liverpool akan membeli pemain yang lebih berkualiti bagi memperkuatkan cabaran masing-masing.
"Pada masa ini Liverpool bakal berdepan tekanan hebat tidak hanya kerana jadual perlawanan padat tetapi juga saingan daripada kelab yang mula membeli para pemain baharu bagi menyaingi anak buah Jurgen Klopp.
"Jika kelab besar seperti Manchester United atau Manchester City akan menghabiskan banyak wang maka ini peringatan untuk Liverpool. Apakah anak Klopp dan para pemain Liverpool akan menjulang trofi kejuaraan? Tentu saja tidak mudah,” kata bekas pemain tengah The Reds berusia 56 tahun itu.
Skuad kendalian Klopp itu berada pada prestasi terbaik selepas menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu apabila menambah koleksi trofi dengan Piala Super UEFA diikuti Piala Dunia Kelab pada Ahad lalu.
Pada masa sama Barnes mengingatkan para pemain Liverpool untuk lebih fokus di samping mengekalkan tahap konsisten mereka bagi mengharungi baki saingan perlawanan.
"Liverpool pada masa ini harus menjaga konsisten para pemain mereka kerana mereka akan memasuki fasa getir pada awal tahun depan.
"Saya percaya bahawa Liverpool akan menjadi kelab yang lebih baik, namun mereka harus bermain dengan lebih konsisten,” kata Barnes
Awal pagi Jumaat, anak buah Klopp dijangka menentang Leicester City di Stadium King Power.