PENYANYI yang juga vokalis Caliph Busker, Azmi Saat berkongsi berita gembira apabila isterinya selamat melahirkan cahaya mata kedua di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 3.28 petang Isnin.
Menurut Azmi, bayi perempuan yang dilahirkan dengan berat 3.62 kilogram itu dan isterinya, Nazira Muhammad berada dalam keadaan sihat.
"Alhamdulillah. Pukul 3.28 petang tadi isteri saya selamat melahirkan anak perempuan kami.
"Baby dan ibu kedua-duanya sihat. Semuanya dipermudahkan ALLAH,” tulisnya bersama gambar anak perempuannya yang masih dirahsiakan wajah.
Tidak menunggu lama, Azmi, 36, turut berkongsi nama anak keduanya itu kepada umum.
"Terima kasih kalian yang tak jemu mendoakan kebahagiaan kami,” titip Azmi.
Terdahulu, Azmi memuat naik hantaran bahawa isterinya, Nazira Muhammad dimasukkan ke wad dan sedang bersiap sedia untuk bersalin menerusi pembedahan.
Rakan selebriti dan warga maya mengucapkan tahniah buat Azmi dan menitipkan doa agar isteri dan bayinya sihat.
Azmi dan Nazira pernah kehilangan anak sulung mereka yang diberi nama Khairul Afnan.
Bayi yang ditunggu-tunggu selama 10 tahun lahir pada 27 September 2021.
Bagaimanapun, anak mereka meninggal dunia tiga hari selepas dilahirkan kerana kegagalan fungsi otak.