JOHOR BAHRU - Operasi Bazar Deepavali di Jalan Ungku Puan dan Jalan Segget di bandar raya ini terjejas akibat dilanda banjir kilat pada jam 4 petang Isnin.
Peniaga makanan ringan, S Poomale, 40, berkata, banjir kilat berlaku secara tiba-tiba dan menjelaskan kira-kira 30 peniaga bazar berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan operasi bazar terhenti hampir tiga jam sementara menunggu air banjir surut.
"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) seharusnya mengambil berat berkaitan perkara ini. Kami bukan berniaga secara percuma dan terpaksa menanggung kos sewa tapak dan sekiranya perkara ini berulang, ia akan melumpuhkan operasi kami selain mengakibatkan kerugian.
"Malah ia juga melunturkan semangat dan keyakinan kami yang berniaga di sini," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Peniaga barang hiasan rumah, P Kamala, 42, berkata, dia tidak menjangka hujan lebat di kawasan itu lebih sejam mengakibatkan banjir hingga paras buku lali.
"Ini mengakibatkan operasi bazar Deepavali menjadi kelam-kabut kerana sesetengah peniaga tidak sempat mengalihkan barang.
"Saya terpaksa menanggung kerugian apabila sebahagiannya dibasahi hujan," katanya.
Katanya, peniaga terbabit kecewa dengan sistem saliran tidak efisien sekali gus didakwa menjadi punca banjir kilat.
"Kami hanya peniaga kecil-kecilan, cuaca tidak menentu ini menjadi cabaran kepada kami. Johor Bahru menjadi pintu masuk ke negara ini dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana menjejaskan imej negeri ini.
"Tambahan pula pelanggan kami adalah dalam kalangan pelancong Singapura," katanya.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak MBJB sedang dilakukan ketika ini.