Pengusaha restoran janganlah berkira sangat dengan pelanggan

Iklan
Pengusaha kedai makan kini terpaksa menaikkan harga makanan untuk menampung kos bahan mentah yang meningkat. - Gambar hiasan

RAMAI dalam kalangan rakan Merak Jalanan terutama mereka yang sudah berkeluarga memberitahu mereka lebih cenderung makan di rumah berbanding makan luar.

Sebabnya harga makanan dan minuman yang dijual di restoran atau gerai makan sekarang sudahlah semakin mahal, tetapi saiz hidangan pula semakin mengecil dan ada pula yang rasanya berubah semakin kurang sedap.

Iklan
Iklan

Tidak dinafikan, pengusaha kedai makan terpaksa menaikkan harga makanan untuk menampung kos bahan mentah yang meningkat, juga kos operasi seperti sewa kedai dan gaji pekerja.

Cuma baru-baru ini Merak Jalanan ada terbaca satu hantaran pemilik kedai makan di media sosial yang memberitahu terpaksa mengenakan caj berasingan bagi setiap hidangan sampingan seperti sup kosong dan sambal belacan.

Iklan

Alasannya, dia tidak lagi mampu untuk menyerap kos bagi hidangan sampingan tersebut berikutan harga bahan mentah yang sudah naik.

Merak Jalanan terfikir, adakah dengan mengenakan caj sup kosong dan sambal yang tak berapa sen itu akan membuatkan pemilik restoran itu kaya?

Iklan

Rasanya tidak, sebaliknya mungkin pelanggan akan lari sebab sudahlah terpaksa bayar mahal, pemilik kedai masih hendak berkira.

Mungkin pemilik restoran perlu mencari idea lain untuk mengatasi masalah kenaikan kos dan bukannya mengurangkan kualiti hidangan yang akhirnya memakan diri apabila pelanggan lari.

Lebih-lebih pengusaha perlu bersaing dengan banyak lagi kedai makan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Nanti nak untung punya pasal, terus gulung tikar!