KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur memberikan keistimewaan kepada pelanggan dengan menawarkan tempoh penginapan selama 24 jam mengikut waktu daftar masuk.
Pengarah jualan dan pemasarannya, Shaidatul Nurfairuze A Rashid berkata, ia merupakan satu kelainan berbanding hotel tempatan lain apabila tiada penetapan waktu untuk daftar masuk dan keluar.
"Jika tetamu daftar masuk pukul 8 pagi, mereka akan daftar keluar pada 8 pagi keesokan hari.
"Kami juga menyediakan kemudahan bilik bersambung di setiap aras dan mempunyai lapan bilik.
Ujar beliau, sejajar dengan slogan 'World Gathering Place', hotel tersebut turut menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan seperti spa, kolam renang, ruang mesyuarat serta restoran yang beroperasi sepanjang hari menyajikan pelbagai jenis masakan dan banyak lagi.
Tambah Shaidatul Nurfairuze, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, hotel tersebut menjadi tumpuan tetamu setempat untuk bercuti dan melakukan inap tinggal bersama keluarga atau rakan-rakan kerana tidak boleh berkunjung ke negeri lain.
Menurutnya, setelah menerima 'Best MICE Hotel Award 2022', hotel berkenaan menerima kunjungan yang tinggi daripada pelancong luar negara termasuk pihak korporat dari China, India dan Singapura yang mengadakan mesyuarat, konvensyen serta persidangan.
"Hotel Sheraton Imperial merupakan sebuah jenama di bawah Marriott International yang mempunyai 31 jenama hotel dengan Hotel Sheraton Imperial adalah jenama terbesarnya dengan memiliki 200 rangkaian seluruh dunia.
"Di Malaysia kini terdapat tiga hotel Sheraton Imperial iaitu Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Kuching manakala di Johor bakal dibuka pada 2025,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memperkenalkan budaya dan seni pelbagai bangsa serta kaum di Malaysia menerusi persembahan ketika menyambut tetamu dari luar negara.
Kami juga akan menggalakkan tetamu untuk berdaftar dengan Marriott Bonvoy bagi mengumpul mata setiap kali menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kami. Mereka boleh menebus mata itu bila-bila masa dan di mana-mana cawangan kami.
"Orang ramai yang berminat untuk menginap dan merasai perkhidmatan lain yang disediakan oleh Hotel Sheraton Imperial boleh membuat tempahan secara terus atau dalam talian menerusi laman sesawang Marriott International, aplikasi Marriott Bonvoy dan media sosial seperti Facebook serta Instagram,” katanya.