Pindah lembu atas bukit elak dihanyut banjir

Iklan
Ismadi berada di kawasan kandang yang akan dijadikan sebagai penempatan sementara ternakannya ketika musim banjir.

SETIU - Seorang penternak di Kampung Sungai Tarom, di sini mengambil inisiatif membina kandang lembu sementara di atas bukit bagi menempatkan haiwan peliharaan itu sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir.

Ismadi Ibrahim, 51, berkata, pembinaan pusat pemulihan lengkap dengan sumber makanan haiwan itu dilakukan setelah serik menanggung kerugian kira-kira RM20,000 gara-gara ternakannya dihanyutkan arus ketika banjir besar melanda tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Masa banjir tahun lepas, tiga ekor lembu peliharaan saya hilang dan dua ditemukan mati lemas menyebabkan saya terpaksa tanggung kerugian kira-kira RM20,000.

Menurut Ismadi, kandang asal ternakannya itu berisiko dinaiki air kerana berada berdekatan dengan sungai.

Iklan

"Disebabkan ia berdekatan dengan sungai, musim banjir seluruh tempat itu akan dinaiki air.

"Satu-satunya tempat selamat ialah kawasan bukit yang saya jadikan pusat pemulihan ini sahaja yang tinggal. Jadi buat sementara waktu nanti saya akan pindahkan ternakan di kawasan bukit ini," katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.

Iklan
Pembinaan pusat pemulihan lengkap dengan sumber makanan haiwan itu dilakukan setelah serik menanggung kerugian kira-kira RM20,000 gara-gara ternakan dihanyutkan arus ketika banjir besar melanda tahun lalu. - Gambar hiasan

Menurut Ismadi, sebanyak RM15,000 bagi telah dibelanjakan bagi membina sebuah pusat pemulihan dilengkapi padang ragut, pagar dan kandang di kawasan berbukit itu sejak Februari tahun lalu.

Katanya, jarak antara kandang asal dengan kawasan pusat pemulihan itu kira-kira 1 kilometer (km) malah ia mampu menempatkan kesemua 30 ekor lembu peliharaannya dalam tempoh tiga minggu.

"Kalau banjir lebih tiga minggu mungkin agak sukar untuk ternakan bertahan tapi dalam tempoh itu saya jamin ia boleh hidup sebab kawasan itu saya telah sediakan sekali dengan tanaman rumput sebagai sumber makanan.

"Saya juga bersedia dengan makanan tambahan seperti palet sekiranya rumput-rumput ini tidak mencukupi memandangkan keadaan tanah yang sentiasa basah dan lembap pada musim hujan menyukarkan ia untuk tumbuh dan membesar," katanya.

Menurut Ismadi, kali ini dia tidak begitu bimbang untuk berdepan bencana banjir kerana telah membuat persediaan rapi.

"Ada beberapa bahagian kandang yang masih dalam proses pembinaan. Tapi saya harap ia boleh siap sebelum musim hujan.

"Kalau ikutkan, jika tiada tempat ini, lembu-lembu saya akan lari bertebaran ke merata tempat selepas kandang dinaiki air.

"Saya terpaksa cari semula lembu-lembu ini malah ada antaranya juga yang memasuki kawanan lembu lain dan berada lebih 10km dari kandang asal," ujarnya.