Anwar dijangka jelas pendirian kerajaan mengenai RUU AS, sekat pihak sokong Hamas

Iklan
Anwar - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyatakan pendirian kerajaan di Dewan Rakyat hari ini berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.

Menurut aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan itu dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dalam Waktu Pertanyaan Menteri mengenai rang undang-undang itu yang mengenakan sekatan terhadap pihak luar menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

Iklan
Iklan

Selain itu, Anwar dijangka menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai jumlah yang dibelanjakan kerajaan untuk mempromosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.

Pada sesi soal jawab, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dijangka meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan usaha mempertingkatkan keupayaan aset serta tahap penguatkuasaan bagi keselamatan sempadan.

Iklan

Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula dijadual bertanyakan Menteri Perpaduan Negara sama ada Akta Hasutan dan Akta Komunikasi mencukupi dalam menghadapi isu 3R atau kerajaan berhasrat memperkenalkan satu rang undang-undang baharu berkaitan keharmonian kaum.

Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.

Iklan

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang di peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 November ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari sejak 9 Oktober lepas. - Bernama