Langkah apungkan harga ayam tawar harga kompetitif kepada pelanggan

Iklan
Pengeluar, pemborong dan peruncit ayam perlu menawarkan harga kompetitif bagi mengelak risiko kehilangan pelanggan. (Gambar hiasan) - Foto Bernama

IPOH - Langkah kerajaan mengapungkan harga ayam di pasaran sejak 1 November memberi manfaat kepada pengguna kerana pengeluar, pemborong dan peruncit ayam akan bersaing sesama sendiri bagi menawarkan harga yang kompetitif kepada pelanggan.

Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, mereka perlu menawarkan harga kompetitif bagi mengelak risiko kehilangan pelanggan kerana pengguna akan beralih kepada mereka yang menawarkan harga lebih rendah dan berpatutan.

Iklan
Iklan

"Hampir seminggu selepas penamatan subsidi ayam, harga yang ditawarkan dalam pasaran adalah kompetitif dan jauh lebih rendah daripada harga bersubsidi iaitu harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah RM8.51 sekilogram dan di Semenanjung Malaysia adalah RM8.49.

"Malah harga ayam yang ditawarkan di pasar raya jauh lebih rendah iaitu serendah RM7.49 sekilogram. Di Terengganu pula media melaporkan harga ayam segar turun sehingga 15 peratus atau RM1.40 sekilogram yang mana kebanyakan peniaga menjual antara RM7.20 dan RM7.99 sekilogram," katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk tidak meneruskan subsidi harga ayam secara tidak langsung mampu menjimatkan perbelanjaan hampir RM4 bilion setahun.

Sehingga Februari lepas, kerajaan telah membelanjakan subsidi keseluruhan untuk ayam berjumlah RM3.8 bilion dengan manfaat tersebut telah dinikmati oleh penternak.

Iklan

"Hakikatnya walaupun dengan harga bersubsidi, harga ayam masih lagi tinggi semasa musim perayaan. Persoalannya, siapa yang mendapat manfaat berkaitan subsidi harga ayam? Sudah pasti ia bukan dinikmati oleh pengguna,” katanya.

Pengapungan harga mengikut mekanisme permintaan dan penawaran itu juga, kata beliau menjadikan industri ternakan ayam bersifat dinamik dan mampu menarik pelaburan dan penggunaan teknologi terkini yang dapat mengurangkan kos pengeluaran.

Beliau juga berkata, terdapat ramai pengeluar ayam di negara ini dan pembeli serta pengguna dapat membezakan harga dan kualiti produk bagi setiap pengeluar yang bersaing.

"Terdapat juga kebimbangan kemungkinan penurunan harga ayam ketika ini hanya bersifat sementara yang sengaja dilakukan oleh penternak bertujuan membunuh penternak kecil yang lain melalui mekanisme 'penentuan harga predatori’, katanya.

"Melalui kaedah ini, penternak yang berskala besar sanggup untuk menurunkan harga agar penternak-penternak kecil tidak mampu bersaing dalam pasaran terbuka yang akhirnya mereka terpaksa memberhentikan operasi.

"Dengan tiadanya persaingan yang sihat, penternak berskala besar mungkin akan kembali memonopoli harga ayam dalam jangka masa panjang.

"Jadi, adalah diharapkan supaya kerajaan dan agensi berkaitan melakukan pemantauan berkala agar tidak berlaku peningkatan yang ketara ke atas harga ayam di pasaran yang boleh memberi kesan negatif kepada pengguna,” katanya.

Pada 30 Oktober lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa 1 November selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan. - Bernama