TEXAS - Pasangan suami isteri dari Texas, Amerika Syarikat dengan kombinasi umur 211 tahun menyambut ulang tahun perkahwinan ke-80 minggu lalu.
John Henderson, 106, dan isterinya, Charlotte, 105, diiktiraf sebagai pasangan tertua di dunia oleh Buku Rekod Guiness.
Henderson dan isterinya diraikan dalam satu majlis meriah anjuran teman-teman dan ahli keluarga di Komuniti Persaraan Longhorn Village di mana pasangan bahagia tersebut tinggal.
Bagi mengenang momen indah mereka, Henderson menjemput isterinya menaiki kereta Roadster tahun 1920 sama seperti kali pertama mereka berdua keluar bersama.
Gambar-gambar memaparkan kegembiraan pasangan tersebut melayari perkahwinan selama 80 tahun turut dipertontonkan kepada tetamu yang hadir.
Menurut Daily Mail, pasangan terbabit bertemu di Universiti Texas pada tahun 1934 dan mendirikan rumahtangga pada 22 Disember 1939, beberapa bulan sebelum bermulanya Perang Dunia II. - Agensi