Pesakit OKU jatuh bangunan hospital tidak tunjuk kemurungan

Iklan

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi insiden seorang lelaki warga tempatan status orang kurang upaya (OKU) yang maut selepas terjatuh dari tingkat enam Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Dr Mokhtar Pungut@Ahmad berkata, sebelum kejadian itu lelaki berusia 22 tahun itu tidak menunjukkan sebarang sebarang tanda-tanda kemurungan atau gejala psikiatri yang lain semasa dirawat di hospital berkenaan.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati pesakit telah dimasukkan ke wad pada 5 November lalu untuk menjalani pembedahan elektif pada lutut kanan. Bagaimanapun pembedahan ditangguhkan ke tarikh lain kerana pesakit menghadapi jangkitan saluran pernafasan.

"Sepanjang berada di wad pesakit tiada masalah. Pada jam 6.05 petang semalam, pesakit telah dilihat pegawai perubatan dan dibenarkan pulang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, semasa menunggu proses discaj, pesakit dan waris menunggu di hadapan wad namun tanpa disedari pesakit berjalan keseorangan ke tingkat enam.

Tambah beliau, pada jam 5.20 petang saksi ternampak pesakit berdiri di tebing struktur bangunan dan melompat ke bawah.

Iklan

"Pesakit terus diberi bantuan kecemasan oleh pegawai perubatan dan pasukan paramedik serta dibawa ke Jabatan Kecemasan HSI untuk rawatan lanjut.

"Pesakit menerima rawatan kecemasan di Zon Merah namun tidak dapat diselamatkan," katanya.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan mendapati pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Raub berkata, polis memohon orang ramai yang melihat kejadian tersebut tampil memberikan maklumat di Balai Polis Taman Setia Indah.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor S Sri Amutheyindharan Chettiar di talian 016-2203465.